PUTRAJAYA: Malaysia meraih standard baharu dalam kepimpinan ASEAN apabila mendapat pujian dan pengiktirafan negara anggota dan kuasa besar dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pencapaian itu lebih bermakna di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.
Beliau berkata, kejayaan itu bukan datang secara kebetulan, sebaliknya hasil tindakan bersama merentasi kementerian dan agensi yang memastikan pelaksanaan dasar serantau dapat dijayakan dengan berkesan.
“Kita melihat setakat ini pencapaian begitu baik sekali hingga kita mendapat pujian sanjungan daripada seluruh negara.
“Ini tidak akan dapat tercapai melainkan tindakan secara bersama daripada setiap lapisan dalam ASEAN kita bekerja rentas kementerian rentas agensi semua orang bagi penghormatan kepada apa yang telah kita laksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia, Kongres Perancangan Kebangsaan dan MyCITY Expo 2025 di sini, hari ini.
Katanya, pencapaian diraih negara itu turut menimbulkan rasa kagum negara anggota lain termasuk Filipina yang akan mempengerusikan ASEAN tahun hadapan.
Fadillah berkata, Filipina mengakui menjadi cabaran menandingi tahap pencapaian yang telah digariskan oleh Malaysia dalam pentadbiran ASEAN.
“Malahan sekarang ini Filipina agak gusar sebab kita sudah meletakkan standard ini terlalu tinggi. Mereka sendiri tertanya-tanya bagaimana mahu mencapai setiap tahap yang telah Malaysia corakkan,” katanya.
Katanya, banyak perjanjian persefahaman (MOU) dan komitmen baharu telah dimeterai di bawah kepimpinan Malaysia, selain kejayaan memposisikan negara sebagai wadah keamanan rantau dengan peranan yang dimainkan dalam hubungan Kemboja dan Thailand. – UTUSAN










