KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi perhatian serius dalam pemilikan dan pembangunan aset strategik secara terancang dan berperingkat bagi melindungi kedaulatan negara daripada sebarang ancaman, khususnya di tengah ketegangan semakin meningkat di Laut China Selatan dan rantau Asia Tenggara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara contoh utama ialah pembelian pesawat tempur ringan (FLIT-LCA) FA-50 dari Korea Selatan yang kini sedang memasuki fasa penghantaran kumpulan pertama.
“Kapal tempur misi pesisir (LMS) juga sedang disiapkan dalam beberapa fasa, di mana selepas kumpulan kedua selesai, pembangunan akan diteruskan ke kumpulan ketiga bagi memperkuatkan armada angkatan laut negara.
“Kami sedar bahawa tidak semua aset pertahanan boleh dimiliki secara serentak. Oleh itu, ia perlu dirancang mengikut keutamaan dan fasa tertentu agar keupayaan pertahanan negara dapat diperkukuhkan secara berperingkat dan berkesan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Menurutnya, kerajaan turut membelanjakan dana untuk memperkukuh keupayaan pemantauan maritim dengan pembelian pesawat rondaan maritim (MPA).
“Pesawat canggih ini dilengkapi dengan sistem radar berteknologi tinggi yang berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ dalam pengawasan ruang udara dan perairan negara.
“Dengan liputan radar yang kini meliputi seluruh Malaysia, kehadiran pesawat MPA yang mampu beroperasi pada jarak jauh akan memastikan pengawasan yang lebih menyeluruh dan efektif,” katanya.
Mohamed Khaled berkata, cabaran besar masih wujud di Laut China Selatan dan kekuatan pertahanan udara merupakan aspek kritikal dalam memastikan keselamatan negara.
“Pengalaman daripada konflik di Pakistan, India, Israel dan Iran membuktikan bahawa penguasaan ruang udara adalah faktor penentu dalam menentukan kekuatan dan keupayaan pertahanan sesebuah negara,” katanya.
Katanya, Malaysia perlu memastikan pertahanan udara berada pada tahap yang dihormati atau mencapai minimum credible force atau kekuatan minimum yang diyakini bagi menghadapi sebarang ancaman atau kemungkinan konflik.
“Kita juga harus bersiap siaga untuk menghadapi senario yang lebih besar, terutama sekiranya berlaku konflik di rantau ini,” katanya.
Ditanya mengenai kemampuan aset untuk melindungi keselamatan dan kedaulatan, beliau berkata, doktrin pertahanan ialah untuk mempertahankan negara.
“Kita tak pernah mempunyai doktrin untuk menawan atau memperluaskan kawasan kita. Itu sebabnya kita tak perlu beli kapal pengangkut kapal terbang, itu sebabnya kita tak perlu beli misil balistik, yang jangkauan sampai 1,000 atau 2,000 kilometer, tiada maksud nak serang, kita berkawan dengan semua negara.
“Kita hanya beli medium (sederhana), short range (jarak pendek), very short range misil (misil jarak sangat pendek) maknanya kalau ada kapal terbang 200 kilometer dalam kita punya Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ), kapal terbang musuh masuk misalnya, dron ke, kita akan pakai medium range misil untuk tembak.
“Kalau lepas juga, kita ada short range (misil) Tentera Darat, kalau masuk juga kita ada very short range. Jadi pembelian (aset) kita untuk itu. Kalau itu pun kita tidak ada, negara lain macam-macam yang dirancang,” ujarnya. – UTUSAN









