PUTRAJAYA: Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia hari iniseusai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau sejak memegang jawatan Perdana Menteri pada 21 Mei 2022.
Jelas Wisma Putra, hubungan dua hala Malaysia-Australia telah dinaik taraf ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun 2021.
“Kerangka ini memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneroka bidang-bidang kerjasama baharu di bawah tiga tonggak utama CSP, iaitu kemakmuran ekonomi; masyarakat dan teknologi; serta pertahanan dan keselamatan serantau,” katanya.
Semasa lawatan tersebut, Albanese dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Tahunan Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Australia Ke-3 (ALM).
Kedua-dua Perdana Menteri dijangka membincangkan langkah memperkukuh kerjasama perdagangan dan pelaburan, kolaborasi dalam tenaga boleh baharu dan teknologi hijau.
Ini termasuk sektor pendidikan dan jalinan antara rakyat, hubungan pertahanan dan keselamatan serta kerjasama dalam sektor halal dan sektor belia dan sukan.
“Para pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk pemusatan ASEAN, situasi di Timur Tengah dan Indo-Pasifik, serta kerjasama maritim.
“Kedua-dua pemimpin juga dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Jenayah Rentas Sempadan Negara dan dalam bidang Pendidikan, diikuti dengan majlis perasmian penubuhan kampus baharu Universiti Monash di Kuala Lumpur,” katanya.
Australia kekal sebagai rakan dagang yang penting kepada Malaysia yang mana pada tahun 2024, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia bernilai RM51.50 bilion (AS$11.87 bilion).
Jumlah eksport Malaysia pula berjumlah RM32.23 bilion (AS$7.44 bilion) dan import sebanyak RM19.27 bilion (AS$4.43 bilion).
“Bagi tempoh Januari hingga September lalu, jumlah perdagangan kedua-dua negara adalah sebanyak RM58.01 bilion (AS$13.41 bilion).
“Sehingga Jun 2025, jumlah terkumpul pelaburan Australia di Malaysia direkodkan sebanyak RM6.12 bilion (AS$1.73 bilion),” katanya. – UTUSAN










