Malaysia angkat martabat serantau di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

Malaysia angkat martabat serantau di Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama pemimpin negara ASEAN pada Majlis Majlis Menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke dalam ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang dipengerusikan Malaysia mengangkat imej negara sebagai peneraju serantau apabila pelbagai kejayaan besar dicapai merangkumi agenda keamanan, kemanusiaan dan ekonomi.

Ini termasuk penyertaan rasmi Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN, pendirian tegas menuntut junta Myanmar menghentikan segala bentuk kekejaman terhadap rakyatnya mengikut tuntutan Konsensus Lima Perkara (5PC) serta pemeteraian perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja.

Sidang berprofil tinggi itu turut menyaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menampilkan kepimpinan tegas di pentas global apabila lantang menyuarakan isu Gaza di hadapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memastikan keamanan sejagat.

Katanya, keamanan sejagat hanya dapat dicapai apabila kuasa besar dunia mengutamakan prinsip kemanusiaan mengatasi kepentingan geopolitik sempit.

PERJANJIAN DAMAI KEMBOJA–THAILAND

Sidang ASEAN Ke-47 turut menyaksikan detik bersejarah apabila Thailand dan Kemboja menandatangani perjanjian damai yang menamatkan ketegangan bersenjata di sempadan kedua-dua negara.

Perjanjian gencatan senjata itu disaksikan oleh Anwar dan Trump yang bertindak sebagai fasilitator dan pemerhati tanpa campur tangan luar terhadap kandungannya.

Kedua-dua negara bersetuju menarik balik senjata berat dan mengundurkan pasukan tentera dari kawasan sempadan sebagai langkah pertama ke arah penyelesaian aman.

Perjanjian itu disifatkan sebagai permulaan baharu bagi mewujudkan keamanan berkekalan di rantau Asia Tenggara selepas beberapa bulan ketegangan.

TIMOR-LESTE ANGGOTA KE-11 ASEAN

Sidang ASEAN turut mencatat sejarah apabila Timor-Leste secara rasmi diterima sebagai anggota ke-11 ASEAN, menandakan peluasan keluarga besar blok kerjasama serantau itu.

Majlis menandatangani Deklarasi Penyertaan Timor-Leste ke ASEAN disempurnakan dengan kehadiran kesemua pemimpin negara anggota yang dipengerusikan oleh Anwar.

Menurut Anwar, upacara simbolik menaikkan bendera Timor-Leste sebaris dengan 10 negara anggota lain di pentas utama menggambarkan detik penuh bermakna bagi rantau ini.

“Saya menyifatkan penyertaan Timor-Leste sebagai langkah melengkapkan komuniti ASEAN ke arah masa depan lebih inklusif, makmur dan bersatu,” katanya.

ASEAN PLATFORM ISU KEMANUSIAN

Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan sokongan padu terhadap Konsensus Lima Perkara ASEAN dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar, sambil memuji peranan negara anggota termasuk Malaysia dalam memperkukuh kestabilan serantau.

Setiausaha Agung PBB, António Guterres menegaskan kerjasama erat antara PBB dan ASEAN amat penting dalam menangani cabaran kemanusiaan serta politik di rantau ini, khususnya membabitkan konflik Myanmar yang semakin meruncing sejak pengambilalihan kuasa tentera pada tahun 2021.

“Kekejaman dan kitaran impuniti ini mesti dihentikan. Saya sekali lagi menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta, disertai komitmen tulen terhadap dialog inklusif dan laluan kredibel ke arah pemerintahan awam, bermula dengan pembebasan segera semua tahanan politik. Pertubuhan Bangsa Bersatu menyokong sepenuhnya Konsensus Lima Perkara ASEAN,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut membawa isu Gaza secara terus kepada Trump ketika sesi membincangkan peranan kuasa besar dalam gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

“Kita berterima kasih kepada Presiden (Donald Trump) atas usaha untuk menjaga keamanan di banyak bahagian dunia termasuk Gaza dan mengajaknya untuk tetap fokus dan memastikan keamanan yang diperlukan dunia.

“Malaysia akan terus menjadi suara lantang bagi mempertahankan keadilan dan hak kemanusiaan rakyat Gaza di semua platform antarabangsa,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.

KEJAYAAN PERDAGANGAN ASEAN

Sidang kali ini turut membawa kejayaan besar dalam aspek ekonomi apabila ASEAN dan pelbagai negara seperti Amerika Syarikat (AS), China, India, Jepun dan Korea Selatan berbincang untuk memperkukuhkan hubungan dua hala termasuk hubungan perdagangan.

Trump menegaskan kepada pemimpin ASEAN bahawa negaranya akan terus menjadi rakan kukuh kepada rantau ini untuk generasi akan datang.

Berucap pada Sidang Kemuncak AS-ASEAN, kedua-dua pihak berada pada kedudukan berbeza setahun lalu, namun kini kedua-duanya di kedudukan terbaik yang pernah dicapai.

“Di seluruh dunia, mereka memandang tinggi kepada anda. Saya berada di sini dengan misi persahabatan dan niat baik, iaitu untuk memperdalam hubungan perdagangan kita, memperkukuh keselamatan bersama serta benar-benar memajukan kestabilan, kemakmuran dan keamanan bagi semua negara, jauh melangkaui sempadannya.

“Itulah sebabnya saya berasa amat gembira kerana selain perjanjian dengan Malaysia pada minggu ini, kami juga sedang menandatangani atau hampir memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan banyak rakan Indo Pasifik yang lain, dari Kemboja hingga Jepun dan Korea Selatan.

“Kami berbesar hati untuk membentuk kerjasama yang lebih kukuh dalam bidang tenaga, teknologi, kecerdasan buatan (AI), mineral kritikal dan industri lain,” katanya.

Dalam pada itu, ASEAN dan China menandatangani Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0), sekali gus menandakan satu lagi pencapaian penting dalam hubungan ekonomi dua hala yang telah terjalin lebih dua dekad.

Naik taraf ACFTA 3.0 turut memperluas kerjasama ke bidang baharu termasuk ekonomi digital dan hijau, ketahanan rantaian bekalan, persaingan dan perlindungan pengguna, serta sokongan terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Perdana Menteri China, Li Qiang berkata, sebagai jiran dan saudara yang saling rapat, ASEAN dan China perlu saling bergantung kepada satu sama lain.

“Sekiranya China dan negara ASEAN terus menzahirkan kekuatan luar biasa dengan bersatu dan berdikari. Tiada kesukaran yang tidak dapat diatasi.

“Namun sekiranya kita berpecah dan bersengketa dalam menghadapi politik kekuasaan dan penindasan ekonomi, kita bukan sahaja tidak akan memperoleh sebarang manfaat, malah akan mudah dieksploitasi oleh kuasa luar,” katanya.

Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi menegaskan komitmen negaranya untuk terus menyokong pandangan ASEAN terhadap konsep Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, sambil menyeru agar hubungan kerjasama antara Tokyo dan blok serantau itu diperkukuh.

Berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-Jepun di Kuala Lumpur, Takaichi menekankan kepentingan kolaborasi strategik dalam memastikan kestabilan, keselamatan dan pembangunan bersama di rantau Indo-Pasifik.

MAHU KEAMANAN MYANMAR

ASEAN sebulat suara mahu Myanmar supaya segera menghentikan segala bentuk kekerasan terhadap rakyat negara itu selaras Konsensus 5PC.

Anwar berkata, sekiranya junta mematuhi gesaan tersebut, ASEAN bersedia menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana gempa bumi yang baru-baru ini melanda wilayah Sagaing.

“Krisis Myanmar perlu diselesaikan melalui pendekatan diplomatik dan kemanusiaan tanpa menjejaskan prinsip hak asasi manusia yang menjadi tunjang komuniti ASEAN,” katanya.

PENYERAHAN KEPENGERUSIAN ASEAN KEPADA FILIPINA

Sidang ASEAN Ke-47 turut menyaksikan penyerahan rasmi kepengerusian ASEAN kepada Filipina sekali gus menandakan berakhirnya tempoh kepimpinan Malaysia.

Sepanjang tempoh tersebut, Malaysia berjaya memperkukuh perpaduan serantau, memperluas jaringan ekonomi dan mengangkat prinsip kemanusiaan sebagai teras utama kerjasama ASEAN.

Sidang ini membuktikan kepimpinan Malaysia bukan sekadar diplomatik, tetapi berpaksikan prinsip kemanusiaan sejagat dan tanggungjawab global untuk keamanan dan kemakmuran bersama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN