TUMPAT: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) mengarahkan operasi Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, Kubang Batang di sini yang mempunyai kaitan dengan seorang mudir dikenali sebagai ‘Abuya’ ditutup berkuat kuasa hari ini.
Timbalan Yang Dipertua Maik, Datuk Mohd. Anis Hussein berkata, penutupan sementara itu mengikut Seksyen 133, Seksyen 135 Kaedah 37 Kaedah-Kaedah Pendaftaran dan Pengawalan Sekolah dan Institusi Pengajian Agama 1987.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati madrasah berkenaan tidak pernah menghantar permohonan pendaftaran kepada Maik.
“Bagaimanapun, tempoh selama enam bulan diberikan bermula hari ini kepada madrasah berkenaan untuk membuat pendaftaran,” katanya ketika dihubungi selepas penyerahan notis penutupan sementara Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah hari ini.
Mohd. Anis berkata, selain notis penutupan, notis kesalahan mengajar tanpa tauliah dan mengelola guru agama tanpa kebenaran mengikut Seksyen 117 serta Seksyen 118 Enakmen Maik Bilangan 4 Tahun 1994 turut diserahkan kepada pengurusan madrasah untuk disampaikan kepada ‘Abuya’ atau nama sebenarnya, Mohamad Aswadi Yah, 46.
Katanya, notis itu memerintahkan ‘Abuya’ untuk hadir ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) dalam tempoh dua minggu bagi memberi keterangan lanjut.
“Tindakan ini untuk memastikan semua institusi pendidikan agama di Kelantan mematuhi peraturan dan mendapat tauliah sah sebelum dibenarkan beroperasi semula,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 20 penguat kuasa Jaheaik, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat menjalankan pemeriksaan di madrasah tersebut.
Sementara itu, tinjauan di madrasah berkenaan mendapati, kawasan itu sudah dikosongkan termasuk kontena dua tingkat yang sebelum ini dijadikan asrama bagi lebih 30 pelajar lelaki.
Selain itu, pintu besi asrama setinggi lebih tiga meter yang diperbuat daripada besi juga kelihatan berkunci rapi.
Utusan Malaysia pada 8 Oktober lalu melaporkan, MAIK mengesahkan Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah yang dikaitkan dengan kes Abuya tidak berdaftar dengan institusi berkenaan.
Mohd. Anis dilaporkan berkata, pusat pengajian itu tidak pernah menghantar permohonan bagi pendaftaran sekolah atau pengajian agama.
Terdahulu, Mohamad Aswadi didakwa di empat mahkamah berasingan di Kelantan, Terengganu dan Perak atas 17 pertuduhan melibatkan amang seksual terhadap pelajar lelaki dan satu kes memiliki bahan lucah sejak Jun 2024 sehingga Ogos lalu.
Lelaki itu membayar jaminan sebanyak RM93,000 yang ditetapkan oleh keempat-empat mahkamah tersebut bagi kesemua pertuduhan yang dihadapinya. – UTUSAN









