KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mengesahkan Madrasah Ahbabul Mustafa Al-Islamiah, Tumpat dekat sini yang dikaitkan dengan kes Abuya tidak berdaftar dengan institusi berkenaan.
Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Mohd. Anis Mussien berkata, pusat pengajian itu tidak pernah menghantar permohonan bagi pendaftaran sekolah atau pengajian agama.
Menurutnya, tindakan itu sekali gus bercanggah dengan peruntukan subseksyen 96 (1) Enakmen MAIK Bilangan 4 Tahun 1994
“Pihak kami (MAIK) telah menyelaras tindakan sewajarnya bersama-sama dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk melaksanakan penguatkuasaan ke atas madrasah tersebut dengan seberapa segera,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Utusan Malaysia pada 24 September lalu, melaporkan Abuya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas enam lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.
Terdahulu, pada 19 September pula, Abuya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.
Sebelum itu, pada 11 September lalu, seorang mudir di sebuah pondok di Tumpat, dekat sini didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu.-UTUSAN