“SUDAH panggil segala jenis dukun, bomoh, tapi mereka tak tahu punca. Ustaz kata kami sudah langgar kawasan ‘dia’.”
Demikian perkongsian sutradara filem Banduan, Kyroll Azmi, yang tidak dapat membendung rasa pelik ketika bercerita mengenai peristiwa ganjil melibatkan sebuah lori yang dibelinya dari Kelantan khas untuk penggambaran.
Bercerita lanjut, menurut Kyroll, ketika itu mereka perlu melakonkan beberapa babak aksi pada waktu malam melibatkan lokasi di Pulau Carey dan Kapar, Selangor. Bagaimanapun, mereka diuji dengan kejadian misteri apabila lori berkenaan akan mogok tiba-tiba setiap pukul dua pagi menyebabkan penggambaran tergendala.
”Kita sepatutnya perlu lakukan penggambaran setiap malam. Tapi tak tahu kenapa bila pukul dua pagi sahaja lori itu terus ‘mati’. Bila hantar pergi bengkel, kita tukar semua komponen baharu tetap juga perkara itu berlaku.
“Kejadian itu pula berlaku di kawasan yang sukar dapatkan pertolongan contohnya di ladang kelapa sawit. Saya ingat lagi sampai penduduk dekat situ kasihan dengan kami jadi mereka panggil bomoh dari kaum India, Orang Asli jalankan upacara masing-masing, tapi tak jalan juga.
“Ustaz pun kami ada panggil tapi begitu juga. Mogok pula bukan sekejap, kadang sampai dua hari tak boleh lakukan penggambaran,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Dalam pada itu, jelas Kyroll, pihak produksi terpaksa menanggung kerugian sekitar RM50,000 termasuk kos pembelian dan ubah suai hanya untuk lori terpakai itu sahaja.
Sebagai pengarah, Kyroll tidak menafikan bahawa perkara tersebut sedikit sebanyak mengganggu momentum kru dan pelakon di set penggambaran.
“Oleh sebab ia berlaku lebih 10 kali, ia mengganggu mood. Bayangkan semua orang sedang semangat dan gembira bekerja, tiba-tiba bila perkara ini jadi, agak mengganggu momentum penggambaran.
“Lori pula memang ada satu sahaja kita guna untuk adegan aksi yang lasak. Kita tak boleh nak pinjam lori sesiapa sebab melibatkan adegan perlanggaran dan pembakaran,” jelasnya.
Cerita Kyroll lagi, salah seorang kru belakang tabir turut diganggu apabila mula menunjukkan sikap aneh dan muntah-muntah sepanjang penggambaran.
“Masa itu di Pulau Carey, ada seorang kru kami dia pergi duduk seorang diri. Tiba-tiba dia jadi aneh, diam semacam. Esoknya, dia mula muntah-muntah.
“Kalau lori sudah okay, tiba-tiba van pula pula masalah pukul dua pagi. Memang misteri,” katanya.
DITEKAN PEMINAT
Bercerita mengenai proses penggambaran filem Banduan yang merupakan adaptasi filem popular India, Kaithi yang terbit pada 2019. Kyroll mengakui sudah berasa tempias tekanan untuk memenuhi jangkaan peminat filem itu.
“Saya banyak terima mesej daripada peminat filem ini yang cakap Kaithi adalah naskhah kesukaan mereka. Mereka minta agar saya hasilkan filem ini setanding dengan yang asal.
“Tapi bila kita kongsikan sedutan filem, nampaknya setakat ini kita terima respons baik daripada peminat. Mungkin ini akan jadi filem yang mencipta fenomena di mana bukan hanya Melayu tetapi juga bangsa India. Itu juga perkara yang jarang berlaku,” katanya.
Menurut Kyroll, Banduan masih mengekalkan jalan cerita asal filem Kaithi, namun menyesuaikan dengan budaya dan tradisi bangsa Malaysia.
“Babak ganas kita tukar sikit agar bersesuaian dengan bajet dan filem ini. Ada juga babak yang menjadi ‘tanda dagang’ filem ini yang kita tidak sentuh. 70 peratus isinya masih sama, hanya 30 peratus sahaja yang kita ubah seperti adegan minum arak, kita tukar dengan air lain contohnya.
“Ada juga babak di masjid yang tiada di naskhah asal,” ceritanya.
Banduan ialah sebuah filem aksi thriller mengisahkan tentang Dali, seorang bekas banduan yang merindui peluang untuk bertemu anak perempuannya buat kali pertama. Namun, apabila satu serbuan dadah menghancurkan harapannya untuk menebus kesilapan lalu, Dali terperangkap dalam satu malam penuh kekacauan yang mengancam nyawanya.-UTUSAN
 
								
 
								 
								 
											









