MUKADIMAH
GABUNGAN Rakyat Sabah (GRS) dilihat berkelebihan menjadi pilihan utama pengundi berdasarkan rekod pentadbiran yang stabil, berprinsip dan berkesan.
Meskipun pergolakan berlaku, termasuklah isu berkaitan rasuah, Ketua Penerangan GRS, Datuk JONISTON BANGKUAI menegaskan senario itu perlu dilihat dengan fakta.
Ikuti perkongsian Joniston dengan wartawan Utusan Malaysia, NURAINA HANIS ABD. HALIM.
UTUSAN: Kelebihan GRS berbanding parti-parti lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17?
JONISTON: Kelebihan GRS terletak pada kestabilan, hala tuju yang jelas dan rekod pentadbiran yang terbukti lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu. Di bawah GRS, hasil negeri meningkat, rizab kewangan bertambah dan pelbagai inisiatif baharu telah diperkenalkan untuk memperkukuh ekonomi serta kebajikan rakyat.
Terdapat parti komponen yang keluar GRS, adakah berlaku pergolakan?
Saya tidak melihatnya sebagai pergolakan. Dalam politik, perbezaan pandangan itu perkara biasa. Kepimpinan GRS sentiasa bersikap terbuka, mendengar dan memahami pandangan rakan-rakan komponen. Jika ada parti yang berasakan hala tuju mereka tidak lagi sehaluan, kepimpinan GRS tidak memaksa, sebaliknya menghormati keputusan tersebut.
Saya difahamkan Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga telah duduk berbincang dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum membuat keputusan mereka.
Adakah pengundi masih yakin dengan GRS memandangkan beberapa pemimpin dikaitkan isu rasuah?
Isu rasuah perlu dilihat secara adil dan berasaskan fakta, bukan persepsi. GRS tidak melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam salah laku. Sesiapa yang didakwa akan melalui proses undang-undang. Pada masa yang sama, pentadbiran GRS terus menekankan ketelusan dan tadbir urus yang baik. Rakyat boleh menilai berdasarkan prestasi kerajaan negeri yang terus menarik pelaburan, menambah baik infrastruktur dan menjaga kebajikan rakyat.
Pertembungan banyak penjuru dijangka akan berlaku, apa jaminan pengundi Sabah memilih GRS?
Apa yang mampu meyakinkan pengundi ialah rekod prestasi dan kestabilan yang telah dibawa oleh GRS sepanjang mentadbir negeri. Walaupun dijangka banyak pertembungan berlaku, saya percaya rakyat kini lebih cenderung memilih kestabilan serta kepemimpinan yang konsisten dan bukan sekadar retorik politik. GRS telah menunjukkan keupayaan mentadbir dengan berkesan dan terus memperjuangkan kepentingan Sabah dalam hubungan dengan Kerajaan Persekutuan. Semangat kerjasama sentiasa dikekalkan, namun kepimpinan GRS tetap tegas mempertahankan hak negeri.
Kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) memberi nilai tambah kepada GRS?
Ya, dalam konteks semasa, kerjasama dengan PH memberi nilai tambah daripada segi kestabilan politik dan hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan. Ini penting kerana banyak agenda pembangunan negeri memerlukan sokongan serta kelulusan kerajaan pusat untuk dilaksanakan dengan lancar. Namun, dalam konteks Sabah, GRS sentiasa konsisten menjadi platform yang menyatukan parti-parti tempatan yang benar-benar ikhlas memperjuangkan hak dan kepentingan negeri ini. – UTUSAN










