TELUK INTAN: Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki merogol anak kandung berusia 11 tahun di sebuah rumah di Langkap di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 47 tahun yang juga seorang duda itu ditangkap selepas menerima laporan polis pada 28 September lalu.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek melakukan perbuatan itu terhadap anak perempuannya itu sejak Mac lalu.
“Mangsa tinggal bersama suspek selepas kematian ibu kandungnya pada tahun 2023. Suspek dipercayai telah melakukan perbuatan tidak bermoral itu sebanyak 10 kali di rumah berkenaan.
“Suspek yang merupakan warga tempatan dan tidak bekerja itu telah ditangkap pada hari sama laporan diterima dan direman sejak 29 September untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 16 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Kertas siasatan telah dimajukan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Perak untuk pertuduhan. Suspek akan dituduh esok di Mahkamah Teluk Intan membabitkan 10 pertuduhan,” katanya. – UTUSAN