SEPANG: Lebih 200 orang awam berkumpul di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di sini malam ini bagi menyambut 23 aktivis Malaysia yang terbabit dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Kumpulan aktivis itu dijangka tiba kira-kira pukul 10 malam ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati orang awam mula berkumpul di pekarangan Balai Ketibaan seawal pukul 7.30 malam bagi menyambut dan memberi sokongan terhadap aktivis GSF.
Turut kedengaran laungan ‘Free Palestine’ dan ‘Allahuakhbar’ secara beramai-ramai.
Difahamkan, satu sesi sidang media dijadualkan pada pukul 11 malam ini yang akan dihadiri oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Media sebelum ini melaporkan, kesemua 23 sukarelawan Malaysia itu ditahan pihak berkuasa Israel, Khamis lalu sebelum dibawa ke penjara Ketziot, yang terletak di padang pasir Negev.-UTUSAN










