PETALING JAYA: Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia merupakan kesinambungan terhadap kepentingan ASEAN dalam ekonomi serantau dan global serta membuka ruang kepada rundingan tarif yang lebih konstruktif antara kedua-dua pihak.
Pengerusi George Town Institute of Open and Advanced Studies, Tan Sri Andrew Sheng berkata, hubungan baik antara ASEAN dan AS menjadi asas penting bagi sebarang rundingan termasuk isu tarif.
“Segala rundingan, termasuk berkaitan tarif berpunca daripada hubungan yang baik antara negara.
“Lawatan ini akan membuka jalan ke arah persefahaman dan persahabatan yang lebih erat serta diharapkan mewujudkan hubungan ekonomi yang lebih saling menguntungkan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Trump dijadual tiba di Malaysia, Ahad ini, bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang diadakan di ibu negara.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ berlangsung pada Ahad hingga 28 Oktober ini, dengan penyertaan pemimpin tertinggi daripada 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk AS, China, Jepun dan India.
Sheng berkata, sebarang kemajuan dalam rundingan tarif ASEAN-AS banyak bergantung kepada hasil perbincangan tarif antara AS dan China, dua ekonomi terbesar dunia yang belum memuktamadkan perjanjian.
“Pada pandangan saya, rundingan tarif ASEAN tidak dapat dimuktamadkan selagi perjanjian tarif antara AS dan China belum dicapai.
“Hubungan peribadi yang baik memainkan peranan penting dalam mencapai hasil rundingan yang lebih menguntungkan.
“Sekiranya wujud hubungan peribadi yang baik antara kedua-dua pihak, lebih mudah untuk memperoleh perjanjian yang lebih baik berbanding jika tidak mengenali pihak satu lagi,” katanya.
Beliau berkata, situasi ekonomi global ketika ini sangat dinamik dan boleh berubah dalam sekelip mata, justeru Malaysia dan negara-negara ASEAN perlu kekal berhati-hati serta bersedia menyesuaikan strategi.
“Seperti yang kita sedia maklum, keadaan boleh berubah dalam sekelip mata (mengenai tarif).
“Trump dikenali sebagai seorang yang sangat transaksional dan cenderung mengambil isu secara peribadi. Oleh itu, diplomasi peribadi adalah sama pentingnya dengan diplomasi di peringkat negara,” katanya.
Beliau berkata, lawatan Trump bukan sahaja penting daripada segi diplomatik, malah memberi peluang kepada AS memahami kepelbagaian ASEAN serta sumbangannya terhadap kestabilan dan keamanan serantau.
“Lawatan Trump merupakan satu penghormatan besar terhadap kepentingan ASEAN dan juga satu peluang bagi rakyat AS memahami bagaimana ASEAN yang pelbagai memainkan peranan penting dalam keamanan serantau dan global,” katanya.-UTUSAN










