Lapan tahun cari rezeki menyanyi di jalanan

Lapan tahun cari rezeki menyanyi di jalanan

MUHD. Hafizam Zaidon (kiri) dan Amirul Amin melakukan persembahan di kaki lima Medan Selera Masjid Al-Alami, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lapan tahun mencari rezeki sebagai pemuzik jalanan atau busker sepenuh masa di sekitar Banda Hilir dan Ayer Keroh di sini bukanlah suatu perjalanan mudah buat Muhd. Hafizam Zaidon, 25.

Dahulu dia sering berdepan pandangan sinis masyarakat yang berpandangan menyanyi di jalanan tidak menjamin masa depan, namun kini Muhd. Hafizam mampu menarik nafas lega dengan pendapatan antara RM300 hingga RM500 sehari.

Katanya, dia turut mene­rima tempahan membuat per­sembahan pada majlis per­kahwinan dan sebarang ke­raian.

“Siapa kata menjadi busker tidak boleh sara keluarga. Kalau hujung minggu insya-Allah busking di sekitar kawasan tumpuan pelancong di Stadthuys serta sekitarnya mampu menjana pendapatan mencecah RM1,000,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Medan Selera Masjid Al-Alami, Ayer Keroh.

Setiap kali persembahan, Muhd. Hafizam bermain alat muzik keyboard Korg PA900 sambil ditemani rakannya, Amirul Amin, 29, yang memetik gitar.

Dia berkata, mereka membawakan lagu-lagu berentak balada, dangdut, irama Malaysia dan lagu bahasa Inggeris sebagai santapan halwa telinga orang ramai.

“Setakat ini maklum balas yang saya terima, orang ramai menyukai pemilihan lagu yang sering kami mainkan dan saya juga sebagai penyanyi utama,” katanya.

Sementara itu, Amirul berkata, dia mula mengikuti Muhd. Hafizam sejak empat tahun lalu.

“Saya tengok dia bermain solo sambil bermain keyboard dan kemudian mengajaknya untuk bergabung kerana saya bermain gitar.

“Kami kerap mencari lagu-lagu baharu sering bermain di corong radio dan tidak terlalu bergantung dengan la­gu yang berulang-ulang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN