Lagi seronok bawa watak jahat – Aaron Aziz - Utusan Malaysia

Lagi seronok bawa watak jahat – Aaron Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUAT pertama kali, filem yang mencetuskan fenomena di India pada 2019, Khaithi, bakal diadaptasi ke dalam versi bahasa Melayu. Pihak produksi filem pecah panggung berbahasa Tamil itu, Dream Warrior Pictures dan Vivekananda Pictures buat pertama kali mahu menyerahkan kepercayaan itu kepada pembikin filem Malaysia.

Bagaimanapun, ada beberapa syarat yang ditekankan pihak produksi asal terutama mengenai perubahan jalan cerita yang tidak boleh dirombak secara drastik. Selain itu, mereka turut meminta agar karakter utama, Dalli atau Dali dibawakan oleh Datuk Aaron Aziz.

Bagi Aaron, dia menyambut baik pelawaan itu selain teruja membawakan karakter Dali dalam versi Malaysia yang diberi tajuk baharu, Banduan. Pelakon itu percaya ini akan menjadi antara filem Malaysia yang mempunyai daya penarik besar untuk menggoda penonton berbangsa India ke panggung.

“Saya tahu ramai yang menantikan filem ini di panggung dan saya sedar ramai yang menganggap Khaithi sebagai filem kesukaan mereka. Saya sangat berharap agar lakonan saya tidak menghampakan mereka.

”Tapi apa yang boleh saya kongsikan, dari segi keseluruhan produksi, filem ini mempunyai kualiti setaraf naskhah asal” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 2011 itu gembira menghidupkan karakter Dali iaitu seorang banduan yang dibebaskan dan berpeluang bertemu anak perempuannya buat pertama kali.

“Saya suka karakter ini kerana ia ‘tengah-tengah’, tidak baik dan tidak terlalu jahat.

“Saya lebih suka karakter jahat, kerana ia lebih berwarna. Kita boleh bermain dengan bermacam gaya. Kalau baik, itu sahaja, bosan.

“Sekarang pula musim orang suka tengok cerita karakter bad boy. Nampak ganas, jahat tapi sebenarnya baik,” tambahnya.

Dalam pada itu, sebagai bapa kepada tiga orang anak, Aaron lebih mudah menjiwai gejolak hati Dali lebih-lebih lagi melibatkan perjuangan mempertahankan keluarga.

“Saya faham kerinduan Dali, sebagai seorang bapa dulu waktu mula bekerja di Malaysia. Saya terpaksa berjauhan dengan keluarga dan anak-anak. Lama tak jumpa sebab kena lalui proses penggambaran berhari-hari. Belum lagi dengan banyak masalah lain.

“Rasanya anda semua boleh tahu saya kongsikan keadaan sebelum ini bahawa saya pernah tiada tempat tidur dan sebagainya. Tapi bila pulang kepada keluarga, dapat peluk mereka ada kelegaan yang besar.

“Perasaan itu berbeza bila anak-anak datang peluk, isteri peluk, semuanya sangat berlainan,” tambahnya.

IBU AYAH ADA PERANAN DIDIK ANAK
Bakal tampil dengan beberapa adegan berlawan dan letupan, Aaron berharap agar tiada pihak yang cuba membuat spekulasi kononnya filem-filem sebegini membuatkan lebih banyak kes jenayah terutama dalam kalangan anak muda terjadi di Malaysia.

Bagi Aaron, menyalahkan filem adalah sebuah perbuatan yang semberono sedangkan ada banyak sumber keganasan yang lebih mudah diakses hari ini termasuk lambakan video You Tube atau permainan video yang membuat ketagih.

“Saya rasa benda kita tidak boleh nak salahkan filem seratus peratus sebab budak-budak zaman sekarang mereka boleh cari apa sahaja di internet. Ada juga pempengaruh yang cerita kejadian ngeri dan kaedah pembunuhan siri jenayah.

“Begitu juga dengan permainan video tembak-menembak di mana anak muda taksub dengan watak mereka dalam permainan itu. Tapi jika kita didik anak dengan bentul, mereka tidak akan mudah terpengaruh.

“Saya memang tidak bersetuju bila ada yang mengatakan filem ataupun drama sebagai punca. Kalau begitu, filem Sudirman, cerita buli zaman dulu habis semua boleh disalahkan,” ceritanya.

Filem Banduan yang diterbitkan Number Twenty One Media, turut dijayakan pelakon berbakat lain seperti Adlin Aman Ramlie, Hushairi Husain, Amir Nafis dan Esma Daniel. Filem ini dijangka menemui penonton bermula 6 November ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN