KWSP pekerja asing, kena lihat kemampuan majikan – MEF

KWSP pekerja asing, kena lihat kemampuan majikan – MEF

DR. SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing perlu diberi penambahbaikan bagi memastikan keseimbangan antara perlindungan sosial dan keupayaan kewangan majikan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman, pelakanaan tersebut juga perlu bersesuaian dengan realiti semasa majikan, terutama sektor PKS yang masih bergelut dengan tekanan aliran tunai, margin keuntungan yang mengecil dan akses pembiayaan terhad.

Malah katanya, penyelesaian secara praktikal termasuk peningkatan caruman KWSP pada masa depan perlu dibuat selepas kajian menyeluruh serta perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“Tidak dapat dinafikan pelaksanaan perlindungan sosial mandatori untuk semua pekerja, termasuk pekerja asing akan memberi cabaran kewangan kepada PKS.

“Keberkesanan kadar caruman dua peratus itu nanti bergantung pada pelaksanaannya, sama ada ia akan disertakan dengan langkah lain untuk mengurangkan kesan negatif terhadap majikan, pekerja bukan warganegara serta kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam

KWSP akan melaksanakan caruman wajib bagi semua pekerja bukan warganegara di Malaysia bermula November dengan potongan berasaskan gaji bulan Oktober.

Di bawah dasar baharu itu, kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja wajib mencarum sebanyak dua peratus.

Caruman tersebut melibatkan pekerja asing yang memiliki passport serta pas pekerja asing sah yang dikeluarkan Jabatan Imigresen, kecuali pembantu rumah.

Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, pendirian kerajaan yang mahu memastikan semua pekerja diberi perlindungan sosial selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) wajar disokong.

Bagaimanapun beliau mencadangkan agar pelaksanaannya dibuat secara berfasa dan fleksibel dengan mengambil kira tahap kemampuan syarikat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN