Kutipan kastam RM57 bilion, lepasi sasaran Kementerian Kewangan

Kutipan kastam RM57 bilion, lepasi sasaran Kementerian Kewangan

ANIS RIZANA MOHD. ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Kutipan hasil Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melepasi sasaran semasa ditetapkan Kementerian Kewangan apabila berjaya mengutip RM57 bilion setakat September lalu.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin berkata, pihaknya sedang membuat penjajaran semula dan sedang bekerja keras supaya sasaran ditetapkan iaitu dapat dicapai hingga akhir tahun.

“Saya gembira sehingga 30 September lalu, hasil yang disasarkan sebelum Belanjawan 2026 berjaya melepasi sasaran.

“Unjuran bagi tempoh Januari hingga September ialah RM54.6 bilion namun pungutan semasa diperolehi RM57 bilion sekali gus lebihan RM2.38 bilion atau 104.36 peratus,” katanya kepada pemberita selepas majlis Istiadat Mengarak Gencana Diraja Sempena Ulang Tahun Ke-62 Penganugerahan Gelaran Diraja Kepada JKDM di Stadium Institut Penilaian Negara (Inspen) di sini hari ini.

Anis Rizana berkata, JKDM perlu membuat unjuran semula kerana sasaran baharu diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2026 ialah RM73.26 bilion bagi tempoh setahun ini.

“JKDM telah merangka beberapa program sejak awal tahun dalam menetapkan sasaran yang ditetapkan.

“Kami sedang bekerja keras untuk capai sasaran baharu ini dan kita yakin dapat mencapainya,” jelasnya.

Sementara itu, Anis berkata, penganugerahan gelaran diraja kepada JKDM bukanlah sekadar pengiktirafan simbolik, tetapi adalah lambang kepercayaan dan penghormatan tinggi Yang di-Pertuan Agong terhadap peranan besar jabatan ini.

“JKDM berperanan dalam mempertahankan kedaulatan ekonomi negara, menjamin keselamatan perdagangan serta menjaga kepentingan rakyat terutamanya setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

“Peranan besar JKDM pernah ditegaskan sendiri oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra yang menyatakan bahawa pegawai dan kakitangan JKDM menjalankan tugas sempurna memungut dan menjaga hasil kerajaan yang didapati daripada kastam dan eksais berjumlah lebih daripada 50 peratus jumlah hasil dipungut Kerajaan Persekutuan pada setiap tahun.

“Kenyataan ini membuktikan bahawa sejak awal penubuhannya, JKDM telah menjadi tunjang utama dalam menjana pendapatan negara. Malah, peranan ini terus diperkukuh hingga ke hari ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN