KAMPAR: Kegiatan kuari bijih timah haram yang beroperasi sejak Julai 2024 di sini, ditumpaskan menerusi Op Bersepadu Khazanah (OBK) dengan anggaran nilai rampasan lebih RM28 juta, semalam.
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, hasil intipan selama sebulan, seramai 27 pekerja tempatan dan warga asing ditahan termasuk seorang pengurus tapak kuari warga China.
Katanya, antara yang dirampas ialah bijih timah dengan anggaran berat 4,500 kilogram (kg), 60 beg bersaiz jumbo berisi bahan mineral kasar anggaran berat 30,000kg dan pelbagai mesin memproses bijih timah termasuk jentera.
“Kesemua warga asing yang bekerja di kuari melanggar syarat menggunakan pas pelawat ke negara ini.
“Mereka melibatkan tujuh lelaki tempatan berumur 19 hingga 76 tahun, seorang wanita tempatan (76 tahun), 10 lelaki warga China (berumur 32 hingga 62 tahun), lapan lelaki warga Bangladesh (berumur 32 hingga 62 tahun) dan seorang lelaki warga Nepal berumur 33 tahun” katanya.
Shahrum berkata, kesalahan perlombongan bijih timah secara haram akan disiasat di bawah Seksyen 426 Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Enakmen Mineral Perak 2003.
Katanya, hukuman bagi kesalahan tersebut adalah denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pekerja warga asing yang ditahan turut disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (c) iaitu melanggar syarat tinggal seperti tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan atau tinggal di negara ini setelah pas atau permitnya tamat tempoh atau dibatalkan.
“Kejayaan operasi ini berjaya menyelamatkan hasil bumi daripada terus dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab hanya demi keuntungan semata-mata,” katanya. -UTUSAN









