PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memberikan kemudahan pelaksanaan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian atau hibrid kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu di seluruh Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) sempena sambutan Deepavali.
KPT dalam satu kenyataan berkata, melalui perbincangan bersama jabatan dan agensi berkaitan, kemudahan PdP itu akan berkuat kuasa dari 16 hingga 24 Oktober depan.
“Namun, pelaksanaannya adalah tertakluk kepada kesesuaian dan keperluan program akademik masing-masing di institusi terlibat, agar tidak menjejaskan perjalanan aktiviti akademik secara keseluruhan.
“Langkah ini diambil bagi memberi ruang dan kemudahan kepada pelajar serta tenaga pengajar beragama Hindu untuk menyambut Deepavali bersama keluarga dalam suasana yang harmoni dan bermakna.
“Ia selaras dengan semangat keterangkuman dan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia,” katanya hari ini.
Pada masa sama, KPT turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua pelajar, tenaga akademik, warga KPT serta seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu.
“Semoga perayaan ini membawa cahaya kegembiraan, kedamaian dan kesejahteraan kepada semua,” katanya. – UTUSAN