KUALA LUMPUR: Pengoperasian Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dijangka dapat dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun 2027 susulan keperluan melalui beberapa proses teknikal dan pindaan perundangan.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sebuah jawatankuasa khas dibentuk dan siri perbincangan lanjut termasuk dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang diadakan bagi memperhalusi aspek pemindahan pengurusan.
Katanya, perbincangan itu melibatkan penyelarasan skim perkhidmatan sedia ada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang perlu diteliti memandangkan terdapat perbezaan struktur dan mekanisme antara kedua-dua kementerian.
“Sama ada pengambilan itu dapat dilakukan pada tahun ini ataupun tahun hadapan kita tidak mendapat membuat jangkaan secara tepat namun apa yang kita lakukan ada dua fasa.
“Sebab apa kita membahagikan dua fasa ini kerana ia melibatkan juga perubahan perundangan antaranya perubahan Akta Pendidikan 1996. Saya jangkakan dia akan mengambil masa dalam tempoh satu tahun ini.
“Kita tidak menjangkakan tahun ini. Kita jangkakan pada tahun hadapan, InsyaAllah kita dapat laksanakan,” katanya menjawab soalan tambahan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berhubung status pelajar Program Matrikulasi bagi kemasukan pada Jun ini. – UTUSAN










