KL Hop-On Hop-Off versi baru diperkenalkan

KL Hop-On Hop-Off versi baru diperkenalkan

Maimunah Mohd. Sharif menaiki bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off versi baru diperkenalkan pada Majlis Pelancaran Calendar of Event 2026 (COE 2026) hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan Calendar of Events (COE) Kuala Lumpur 2026 sebagai manifestasi komitmen berterusan untuk memperkukuh kedudukan ibu negara sebagai hab pelancongan utama serantau menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, kalender tersebut menghimpunkan pelbagai program dan aktiviti pelancongan, kebudayaan, kesenian, sukan serta rekreasi sepanjang tahun, bagi menonjolkan keunikan dan kepelbagaian Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Inisiatif ini menandakan permulaan baharu dalam pengukuhan produk pelancongan Kuala Lumpur berteraskan identiti bandar raya yang berbudaya, berdaya saing serta mesra pelancong,” katanya pada Majlis Pelancaran Calendar of Events (COE) Kuala Lumpur 2026 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Ismadi Sakirin; Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn. Bhd., Syed Azhar Syed Nadzir; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris serta Duta Hungary ke Malaysia, Dr. Sandor Sipos.

Sebanyak 35 acara utama dirancang sepanjang tahun depan di bawah COE 2026, dengan pelbagai program komuniti dan budaya akan diadakan setiap bulan bagi menyemarakkan suasana sambutan TMM2026.

Antara acara tumpuan termasuk Kuala Lumpur Car Free Morning (KLCFM), KL Street Jam, Karnival KUL Vibes, Festival Orkestra Kuala Lumpur, KL Park Festival, Pesta Teater Kuala Lumpur serta sambutan Ambang Merdeka dan Ambang Tahun Baharu 2027.

Dalam pada itu, enam unit bas dua tingkat KL Hop-On Hop-Off versi baharu turut diperkenalkan pada majlis berkenaan, menampilkan inovasi moden, kelestarian alam sekitar serta pengalaman digital interaktif sebagai pelengkap kepada kempen TMM2026.

Syed Azhar berkata, pengenalan bas baharu itu menandakan langkah penting dalam memodenkan sistem mobiliti pelancongan bandar serta meningkatkan daya tarikan Kuala Lumpur di mata pelancong.

“Pengenalan ini bukan semata-mata untuk TMM2026, tetapi kerana peningkatan jumlah pelancong sejak 2020 lagi. Secara keseluruhan, 10 buah bas akan ditambah – enam tahun ini dan empat lagi pertengahan tahun depan untuk menggantikan bas lama serta memperluas lawatan malam,” katanya.

Bas berkenaan dilengkapi sistem audio kecerdasan buatan (AI) dalam 10 bahasa termasuk Bahasa Melayu, Mandarin, Jepun, Arab, Korea dan Sepanyol serta kemudahan Wi-Fi percuma.

Menariknya, jenama tempatan Ronda-Ronda KL turut diperkenalkan bagi memudahkan warga tempatan mengenali perkhidmatan itu, manakala jenama KL Hop-On Hop-Off dikekalkan bagi pasaran antarabangsa.

“Selain lebih mesra rakyat, kami juga memperkenalkan insurans tanggungan awam untuk perlindungan penuh kepada semua penumpang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN