Kita atur perlahan-lahan - Konsert Spider tetap jalan walau KL ‘lockdown’ - Utusan Malaysia

Kita atur perlahan-lahan – Konsert Spider tetap jalan walau KL ‘lockdown’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Konsert Spider Unplugged yang dijadualkan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 25 Oktober ini tetap akan berjalan walaupun sedikit terganggu dengan pelaksanaan lockdown sempena  Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Bagaimanapun, menurut Vokalis Spider, Tam, kebimbangan utamanya bukan sahaja tertumpu kepada kelancaran konsert, tetapi lebih kepada aspek kesihatan para kru dan ahli kumpulan khususnya dengan penularan  jangkitan influenza yang semakin meningkat.

“Benda yang saya paling risau ialah kesihatan ahli kumpulan dan mereka di belakang tabir. Perkara lain tak risau sangat.

“Sekarang musim influenza, jadi kesihatan itu paling penting,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan konsert di MyStudio Sungai Buloh, malam tadi.

Menurut Tam, pihak mereka belum merangka sebarang pelan alternatif sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini membabitkan ahli kumpulan, namun berharap semuanya akan berjalan lancar.

“Kami tak terfikir pula untuk ada Plan B kalau ada yang sakit. Setakat ini kita harap yang terbaik dan doa dijauhkan sebarang perkara tidak diingini,” tambahnya yang bakal menyanyikan 23 buah lagu.

Sementara itu, pemain bass, Napie, turut meluahkan kerisauan terhadap pengumuman lockdown yang menurutnya memberi kesan terhadap pergerakan peminat, khususnya yang datang dari luar Lembah Klang.

“Sangat merisaukan sebab ramai peminat komen tentang lockdown. Kalau mereka yang duduk di KL mungkin boleh cari jalan alternatif, tapi kita agak risau dengan yang datang dari jauh seperti Balik Pulau.

“Ia juga mungkin menjejaskan jualan tiket walk-in. Tapi kita akan susun maklumat perlahan-lahan untuk bantu peminat buat perancangan awal seperti lokasi parkir dan laluan masuk,” katanya.

Mengulas konsep persembahan, Tam menjelaskan bahawa konsert kali ini membawa pendekatan Unplugged, menampilkan penggunaan alat muzik akustik seperti gitar akustik, piano dan organ sekali gus memerlukan ketelitian tinggi.

“Bila kita ‘tone down’, cara nyanyian pun kena ubah. Cabaran dia ialah bunyi akan jadi jelas, jadi kalau buat silap memang bahaya. Tapi kadang-kadang peminat mahu tengok dari segi ‘showmanship’, bukan hanya vokal semata-mata,” ujarnya.

Untuk info, tiket Konsert Spider Unplugged sudah terjual sehingga 70 peratus. Konsert kali ini bakal menampilkan ahli Tam (vokal), Aie (dram) serta dua anggota baharu, Iss (bass) dan Pown (gitar), menggantikan Tony dan Napie yang masing-masing meninggal dunia pada 2021 dan 2024. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN