KEMAMAN: Kegembiraan sebuah keluarga yang berkelah di Pantai Penunjuk Kijal, di sini, berakhir tragedi apabila dua daripada mereka lemas ketika mandi di pantai itu, kira-kira pukul 4.15 petang tadi.
Mangsa yang berusia 39 tahun, berasal dari Jitra, Kedah, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.42 petang di Hospital Kemaman manakala anak saudara perempuannya yang berusia 12 tahun, berasal dari Ampang, Selangor disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Kijal, kira-kira pukul 5.23 petang.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa mandi di pantai itu bersama lima lagi ahli keluarga mereka.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika mereka mandi, tiba-tiba mereka ditarik ombak ke tempat yang lebih dalam menyebabkan lima daripada mereka hampir lemas. Bagaimanapun, mereka diselamatkan ahli keluarga dan orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya.
Mohd. Razi berkata, bagaimanapun dua daripada mereka telah disahkan meninggal dunia selepas beberapa jam menerima rawatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia Kijal, Azizee Alias berkata, lima anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
“Ketika kami tiba, kesemua mereka diselamatkan oleh orang awam dan duu daripadanya diberikan rawatan awal oleh pegawai perubatan sebelum dibawa ke klinik dan hospital,” katanya. – UTUSAN










