Khaliq Mehtab sahkan beliau bukan lagi ahli MPT Bersatu

Khaliq Mehtab sahkan beliau bukan lagi ahli MPT Bersatu

KHALIQ MEHTAB MOHD. ISHAQ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kepala Batas, Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq mengesahkan bahawa beliau telah ditamatkan perkhidmatan sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu atas alasan tidak menyokong sepenuhnya pendirian presiden dalam beberapa perkara tertentu.

Khaliq berkata, walaupun akur dan menghormati keputusan tersebut, namun, sebagai ahli MPT yang dipilih untuk memperkukuh institusi parti, beliau percaya bahawa dirinya mempunyai hak untuk menyuarakan pandangan dan pendirian yang berbeza iaitu sebagai sebahagian daripada semangat demokrasi dalam Bersatu.

“Saya berpendapat bahawa proses transisi kuasa (transitional plan/succession plan) ini wajar dilaksanakan secara tuntas, segera dan berhemah demi memperkukuh perpaduan serta hala tuju masa depan parti.

“Pandangan ini lahir atas dasar kasih dan tanggungjawab terhadap parti, bukan atas niat untuk menentang kepimpinan,” kata beliau dalam satu kenyataan ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam itu berharap agar pelantikan ahli MPT dibuat berasaskan kebolehan, kredibiliti dan prinsip perjuangan, bukan sekadar untuk melahirkan barisan ‘Yes Man’.

“Parti yang kuat sebenarnya terbina daripada kepelbagaian pandangan dan keberanian menyatakan kebenaran,” katanya yang turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Biro Perundangan dan Perlembagaan Bersatu.

Pada 18 Januari lalu, Khaliq antara lima nama yang dilantik sebagai ahli MPT Bersatu selain Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Harrison Hassan; Ketua Bahagian Bersatu Jelebu, Danni Rais; Ketua Bahagian Bersatu Santubong, Alkaf Jaziri Abdillah Suffian serta bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN