Ketokohan mahasiswa perlu digilap, aset penting bentuk barisan pemimpin masa depan

Ketokohan mahasiswa perlu digilap, aset penting bentuk barisan pemimpin masa depan

ZAMBRY Abdul Kadir bergambar bersama pemenang anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Golongan mahasiswa yang menonjol dalam kepimpinan perlu digilap secara berterusan kerana mereka merupakan aset penting dalam membentuk barisan pemimpin pada masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, pelajar universiti hari ini bukan sahaja memiliki kehebatan akademik, malah mempunyai daya kepimpinan, watak dan karakter tersendiri yang meletakkan mereka dalam kalangan tokoh pelajar terpilih.

“Finalis anugerah ini melambangkan bahawa anda telah mencapai tahap ketokohan yang hebat dan nescaya akan terus memimpin dalam kapasiti masing-masing.

“Ketokohan ini bukan hanya untuk dihargai, tetapi perlu dikenal pasti dan diasah agar terus menyerlah dalam pelbagai peringkat kepimpinan, termasuk ke peringkat negara suatu hari nanti,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2025 (ATSN) di sini semalam.

Majlis berprestij yang memasuki penganjuran kali kesembilan itu mula diperkenalkan pada 2013 dengan nama Anugerah Tokoh Siswa (ATS).

Objektif utama penganjuran ATSN bertujuan mengiktiraf sumbangan mahasiswa dan badan pelajar IPT, memupuk semangat nasionalisme, meningkatkan kebolehsaingan serta melahirkan pewaris kepimpinan negara.

Sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan meliputi kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, inovasi, kesukarelawanan, khidmat komuniti, inklusiviti, perpaduan dan kelestarian siswa.

Selain itu, ATSN turut menawarkan Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan) serta empat Anugerah Penghargaan Khas (Menteri PendidikanTinggi, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Ketua Setiausaha KementerianPendidikan Tinggi dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi) manakala Anugerah Tokoh Siswa Negara merupakan anugerah utama yang ditawarkan dalam majlis ATSN 2025.

Pada majlis itu, Ng Zhen Fan Shankar, 26, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merangkul Anugerah Tokoh Siswa Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN