PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh pemantauan di semua sekolah susulan insiden kematian pelajar akibat ditikam hari ini.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata berkata, PDRM akan memaklumkan langkah-langkah keselamatan tambahan yang akan dilaksanakan bagi memastikan kawasan sekolah benar-benar selamat untuk pelajar.
“Ini termasuk dengan meningkatkan kawalan di sekolah. Ini untuk memastikan kawasan sekolah ini adalah kawasan selamat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Ditanya bagaimana suspek boleh membawa senjata ke sekolah, Mohd Azam berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.
Beliau juga menjelaskan, prosedur pemeriksaan beg pelajar oleh guru sudah ada telah dilaksanakan sebelum ini.
“Cuma dengan keadaan berlaku ini, seperti yang saya arahkan, kita semua harus diarahkan untuk mengambil tindakan tegas dan memberikan perhatian serius terhadap isu-isu keselamatan di sekolah,” katanya.
Katanya, sebuah jawatan kuasa khas telah ditubuhkan untuk menyiasat semua aspek dalam kes ini secara tuntas, telus dan adil.
Jelasnya lagi, KPM berikrar akan menggandakan usaha sedaya upaya untuk memperbaiki kelemahan sedia ada untuk memastikan kawasan sekolah adalah kawasan selamat untuk anak-anak.
“Saya memohon semua pihak sekolah, ibu bapa, komuniti dan pihak berkuasa untuk kita bersama-sama memainkan peranan.
“Keselamatan pelajar adalah tanggungjawab kita semua secara bersama-sama dan setiap sekolah perlu menjadi kawasan selamat untuk anak-anak kita belajar dan membesar,” katanya. – UTUSAN