SEPANG: Kerajaan Negeri Selangor bersedia menyalurkan sebarang bantuan kepada rakyat Malaysia yang ditahan di Israel sejurus mereka pulang ke tanah air nanti.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara (bantuan) itu boleh direncanakan termasuk kemudahan penginapan sementara di beberapa buah hotel milik kerajaan negeri yang boleh dimanfaatkan bagi tujuan itu.
“Kebetulan kita ada beberapa hotel milik kerajaan negeri yang boleh digunakan sebagaimana ketika dimanfaatkan untuk tujuan kuarantin semasa pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di sini malam tadi.
Amirudin sempat meluangkan masa kira-kira setengah jam bagi meninjau operasi SNCC diiringi Ketua Pengarah SNCC, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby.
Pada masa sama, Amiruddin turut menyediakan peruntukan sejumlah RM1 juta kepada Malaysia International Humanitarian Centre (MIHC) dan ia boleh digunakan bagi tujuan sama.
“Bantuan itu diharap bukan hanya untuk membantu krisis antarabangsa tetapi juga menyalurkan sokongan dan bantuan kepada isu kemanusiaan bencana dalam negara melalui kemudahan stor penyimpanan yang ada di sini,” katanya.
Katanya, kerajaan negeri sangat terbuka sebagaimana negeri pertama menyahut seruan pembinaan semula Gaza.
“Setakat ini sokongan telah diberikan dengan sempurna, pelan yang cukup teratur serta persediaan rapi bukan sahaja fizikal tetapi juga perancangan strategik dengan unjuran situasi hampir tepat,” katanya. – UTUSAN