Kerajaan jamin tempat anak tempatan di IPT - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin tempat anak tempatan di IPT

ANWAR Ibrahim pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar UTP di Seri Iskandar, Perak. – MINGGUAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ruang untuk anak-anak tempatan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam negara terjamin, meskipun Malaysia menjadi destinasi utama pendidikan tinggi ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dengan kemasukan kira-kira 170,000 pelajar antarabangsa, tanggungjawab untuk menyediakan peluang pendidikan mencukupi terletak di bahu kerajaan dengan mengutamakan warganegara.

Beliau berkata, kerajaan berusaha memperluas ­peluang pengajian dalam negara, di samping membuka pintu-pintu pengajian di luar negara.

“Saya lihat bila buka UPU (Unit Pusat Universiti), bergaduh tidak dapat . Sampai jadi isu kaum, maka kita dengar semua dan cari penyelesaian berunding dengan baik. Jangan runsing. Itu tanggungjawab kita sediakan.

“Di ASEAN kita nombor satu yang memiliki jumlah pelajar luar negara paling ramai. Ini menunjukkan imej dan mutu pendidikan kita dihargai,” katanya ketika berucap pada Seminar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Cemerlang, Saya Pelajar Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yuk Choy di sini, semalam.

Dalam pada itu, selepas hampir 14 tahun memohon keahlian penuh dalam ASEAN iaitu sejak 2011, Timor-Leste akan diterima secara rasmi sebagai anggota penuh pada 26 Oktober ini.

Perdana Menteri berkata, Malaysia berusaha gigih untuk memastikan penyertaan negara yang mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002 itu tercapai.

“Sejak awal lagi Malaysia menyokong kemasukan Timor-Leste, kita berusaha keras untuk memastikan negara itu diterima sebagai anggota tetap ASEAN.

“Dengan kerjasama Kementerian Luar, pada 26 Oktober ini secara rasmi Timor-Leste akan menjadi anggota tetap ASEAN,” katanya yang juga Pengerusi ASEAN pada Program Temu Anwar Bersama Pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Seri Iskandar.

Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN dari 26 hingga 28 Oktober ini di Kuala Lumpur.

Persidangan dijangka diha­diri pemimpin dunia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Pre­siden China, Xi Jinping.

Sebelum ini, Mesyuarat Menteri-menteri Luar Asean Ke-58 pada 9 Julai lalu menyatakan komitmen untuk menyokong Timor-Leste mempercepat penyertaan dalam perjanjian ekonomi utama ASEAN.

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengulangi tekad untuk mendapatkan semula wang rakyat yang dicuri daripada pemimpin dan pegawai penguat kuasa yang mengamalkan ra­suah serta pelbagai kegiatan jenayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN