Kerajaan cari mekanisme daftar mangsa banjir tidak pindah

Kerajaan cari mekanisme daftar mangsa banjir tidak pindah

AHMAD ZAHID Hamidi (tengah) menunjukkan isyarat bagus semasa berada di atas 'Kenderaan Pintar' pada majlis perasmian 'Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional di Padang FA Jerantut di Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Kerajaan sedang merangka satu mekanisme khusus bagi mendaftarkan mangsa banjir yang terjejas tetapi memilih untuk tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu penting bagi memastikan bantuan kerajaan dapat disalurkan secara menyeluruh, termasuk kepada mereka yang kekal di rumah masing-masing walaupun kawasan mereka dilanda banjir.

Jelasnya, kerajaan memahami mangsa yang tidak berpindah itu adalah untuk menjaga barang-barang di rumah terutama mengelak daripada kecurian.

“Yang itu kami sedang mencari mekanisme bagaimana untuk kami mendaftarkan mangsa-mangsa berkenaan dan pada waktu sama mereka diikhtiarkan untuk dapat bantuan.

“Namun, kaedah bantuan ini telah kami ubah dengan melantik Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk mengkreditkan bantuan wang ihsan terus ke akaun penerima, iaitu mereka yang menjadi mangsa yang berpindah dan berdaftar, jadi kita beri keutamaan kepada yang berpindah.

“Bagi yang tidak berpindah, kita meneliti benarkah rumah mengalami banjir dan disahkan oleh jawatankuasa peringkat daerah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2025 dan 10 Tahun. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Padang FA Jerantut di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, dunia kini menyaksikan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan pengurusan bencana berkelas global, lahir daripada latihan yang tersusun, kesepaduan agensi dan kepimpinan strategik yang sudah dibina serta diperhalus selama sedekad.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, keupayaan negara kini turut diiktiraf di peringkat antarabangsa sehingga negara Rusia pun datang belajar dengan Malaysia malah NADMA turut menyertai pelbagai misi kemanusiaan global.

“10 tahun bukan tempoh yang singkat. Dalam satu dekad ini, NADMA telah membina sistem pengurusan bencana yang semakin matang, moden dan menyeluruh. Apa yang dahulu reaktif, kini menjadi proaktif. Apa yang dahulu terpisah, kini bersepadu.

“Daripada segi dasar, saya berbangga melihat NADMA memperkukuh rangka kerja negara melalui Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, serta Garis Panduan Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM). Kesemua dokumen ini bukan sekadar peraturan tetapi ia menjadi peta hala tuju untuk menjadikan kesiapsiagaan sebagai sebahagian daripada budaya nasional.

“Daripada aspek keupayaan operasi pula, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) kini beroperasi 24 jam sehari sebagai pusat penyelarasan maklumat utama negara. Kerajaan juga telah memperuntukkan RM135 juta bagi pembinaan Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di lokasi strategik, termasuk di Jerantut yang bakal menjadi salah satu tapak baharu,” katanya.

Beliau berkata, langkah ini bukan sekadar penambahbaikan infrastruktur, tetapi ‘game changer’ yang membuktikan kesungguhan kerajaan memperkukuh kesiapsiagaan dan memastikan rakyat sentiasa dilindungi di saat paling genting.

“Kita juga telah memperkenalkan aplikasi MyInfoBencanaJKM (MYIBJKM), satu platform tunggal yang mempercepatkan permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) secara digital. Melalui sistem baharu ini, bantuan RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah dan RM10,000 bagi waris mangsa yang terkorban akan disalurkan terus ke akaun penerima dalam tempoh tujuh hari dan yang penting semuaini dilaksanakan tanpa karenah birokrasi yang akhirnya merugikan.

“Di peringkat komuniti pula, Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) kini telah melibatkan lebih 33,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat. Mereka diangkat menjadi barisan hadapan negara dan menjadi penyelamat awal serta duta kesiapsiagaan di kawasan masing-masing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN