JASIN: Kempen Tabung Pahlawan (KTP) 2025/2026 mampu mencapai sasaran RM3 juta sebelum kempen berakhir Julai 2026.
Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral Datuk Semaon Marjuki berkata, setakat ini jumlah kutipan lebih RM1 juta sejak dilancarkan oleh Penaung KTP, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Julai lalu.
Menurutnya, kempen dengan tema ‘Satu Rakyat 1 Ringgit Demi Pahlawanku’ itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai termasuk agensi kerajaan dan pihak swasta.
Beliau berkata, setiap tahun KTP menunjukkan peningkatan apabila pada 2023 kutipan yang diperoleh mencecah RM1.9 juta dan RM2.1 juta berjaya dikumpul tahun lalu.
“Kalau rakyat Malaysia seramai 30 juta dapat menyumbang RM1 itu sudah mencukupi sebenarnya untuk membantu bekas veteran tentera. Wang daripada KTP ini adalah untuk membantu seramai 221,825 ahli yang memerlukan bantuan, khususnya yang sakit memerlukan rawatan susulan.
“Selain itu, pembelian peralatan perubatan dan lampin pakai buang adalah antara yang kita gunakan daripada wang sumbangan KTP,” katanya selepas peluncuran Sambutan Jubli Perak Penubuhan JHEV pada Program Madani Rakyat (PMR) 2025 di Politeknik Merlimau di sini, hari ini.
Semaon berkata, sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan JHEV pada 11 Oktober 2000, pelbagai aktiviti diadakan antaranya program ziarah kasih veteran ATM.
“Sebelum ini kita mengadakan program ziarah kasih kepada veteran ATM yang terlantar sakit di Batu Pahat, Johor serta penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Pagoh baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN










