Kembalikan rasa selamat di sekolah - Utusan Malaysia

Kembalikan rasa selamat di sekolah

RODZIAH ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekolah perlu menjadi tempat yang selamat di mana murid bebas dan dilindungi daripada sebarang bentuk buli, diskriminasi dan ketakutan.

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menzahirkan rasa sedih dan kecewa terhadap kejadian tidak diingini yang berlaku di dalam kawasan sekolah, apatah lagi di dalam bilik darjah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk murid-murid.

Beliau berkata, insiden seumpama itu jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperkukuh aspek keselamatan di sekolah, sekali gus mengembalikan rasa selamat dan dilindungi dalam kalangan pelajar.

“Saya menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) segera mengutamakan usaha memaksimumkan keselamatan murid seperti yang turut disarankan oleh Jawatankuasa Pilihan Parlimen terhadap Kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Rodziah berharap agar Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di semua sekolah dan bukannya hanya sekolah secara terpilih.

“KPM juga perlu memperkukuh sistem keselamatan agar sekolah tidak lagi menjadi tempat untuk bertindak sewenang-wenangnya.

“Selain itu, aspek pencegahan perlu diperkasa dengan memberi pendidikan dan kefahaman kepada murid tentang perlakuan yang menyalahi undang-undang dan nilai moral yang tercela, bukan hanya menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kes melibatkan kanak-kanak bawah umur termasuk rogol, buli dan cubaan bunuh diri yang semakin merisaukan.

“Saya menyeru agar kita semua termasuk diri sendiri, keluarga, sekolah dan masyarakat menjadi warga yang bertanggungjawab serta menjauhi perlakuan salah. Marilah bersama mencorakkan Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pelajar perempuan tingkatan tiga dipercayai menjadi mangsa rogol dua pelajar senior dalam kelasnya sendiri dan kejadian itu turut dirakam serta disaksikan dua pelajar lain.

Kejadian itu terbongkar petang semalam selepas ibu mangsa menerima maklumat daripada guru sekolah berhubung penyebaran video tidak senonoh membabitkan anak sulungnya sebelum membawa mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Gajah.

Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.50 petang pada 2 Oktober lalu ketika mangsa berpatah balik ke kelas di tingkat tiga untuk mengambil bahan projek mata pelajaran sains yang tertinggal.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan memaklumkan bahawa perintah reman selama enam hari telah diperoleh terhadap kesemua suspek bermula semalam hingga 16 Oktober bagi membantu siasatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN