Anutin batal lawatan ke Malaysia hari ini

Kemangkatan Bonda Raja Thailand: Anutin batal lawatan ke Malaysia

ANUTIN CHARNVIRAKUL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul membatalkan lawatan kerja ke Malaysia hari ini ekoran kemangkatan bonda Raja Vajiralongkorn, Ratu Sirikit Kitiyakara.

Kabinet dijadualkan bermesyuarat pada pagi ini untuk membincangkan istiadat pengebumian.

Sebaliknya beliau dilaporkan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di sini esok dan pulang pada hari sama.

Terdahulu, Pejabat Diraja Thailand mengumumkan kemangkatan bekas Ratu Thailand itu pada usia 93 tahun.

Dalam kenyataannya, Pejabat Diraja memaklumkan bahawa baginda mangkat pada 9.21 malam semalam di Hospital Peringatan Raja Chulalongkorn, di bawah jagaan Persatuan Palang Merah Thailand.

Anakandanya, Raja Maha Vajiralongkorn telah menitahkan Pejabat Diraja agar menguruskan upacara pengebumian diraja dengan penghormatan tertinggi mengikut adat istiadat diraja.

Jasad baginda akan disemayamkan di Balairung Seri Dusit Maha Prasat di Istana Diraja Bangkok.

Raja Maha Vajiralongkorn turut menitahkan tempoh berkabung selama setahun bagi kerabat diraja dan pegawai istana, bermula dari tarikh kemangkatan.

Ratu Sirikit secara rasmi dimasyhurkan sebagai Ratu pada hari pertabalan Raja Bhumibol pada 5 Mei 1950.

Baginda amat disanjung tinggi atas pengabdian sepanjang hayatnya kepada kesejahteraan rakyat Thailand dengan menumpukan usaha kepada pembangunan luar bandar, pemerkasaan wanita dan pemeliharaan seni serta kraf tradisional Thailand.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN