PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan berwaspada susulan peningkatan kes Influenza A dan B di seluruh negara yang kini sedang dipantau dengan rapi oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo berkata, walaupun terdapat peningkatan kluster jangkitan yang dilaporkan, keadaan ini masih boleh dikawal kerana ia berlaku dalam musim penularan influenza.
“Orang ramai dinasihatkan agar mengambil langkah pencegahan asas dengan mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi bagi mengurangkan risiko jangkitan.
“Amalan kebersihan diri adalah pertahanan terbaik iaitu basuh tangan dengan kerap, tutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin serta pakai pelitup muka sekiranya berasa tidak sihat atau berada di kawasan sesak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Thirunavukarasu berkata, mereka yang mengalami demam tinggi berpanjangan, batuk teruk, kesukaran bernafas, sakit dada atau gejala yang tidak menunjukkan tanda pemulihan selepas beberapa hari disarankan segera mendapatkan rawatan perubatan.
Katanya, pemeriksaan awal membolehkan rawatan diberikan dengan segera dan mengurangkan risiko komplikasi khususnya bagi pesakit yang mempunyai penyakit kronik.
“Golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang menghidap penyakit kronik agar lebih berhati-hati dan mempertimbangkan pengambilan vaksin influenza sekiranya tersedia.
“Dengan sikap berwaspada dan tindakan bertanggungjawab, kita dapat mengawal keadaan ini dengan lebih berkesan serta melindungi kesihatan masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, KKM memaklumkan peningkatan ketara kes influenza dilaporkan di beberapa negeri dengan kebanyakan kluster dikesan di institusi pendidikan dan sekolah berasrama. – UTUSAN










