ALOR SETAR: Siasatan polis mendapati kejadian rogol pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah di Baling, Kedah oleh empat suspek dipercayai melakukan beberapa kali hubungan tidak bermoral dengan mangsa.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, hasil siasatan juga mendapati kejadian rogol itu turut berlaku di kawasan semak kebun kelapa sawit.
“Sebagai contoh, bersama salah seorang suspek, mangsa melakukan hubungan seks sebanyak empat kali di dalam kelas pada waktu petang ketika tiada pelajar lain.
“Selain itu, mereka juga berhubungan melalui WhatsApp dan berjumpa di ladang kelapa sawit berhampiran sekolah serta di rumah mangsa atau suspek pada waktu malam,” katanya kepada pemberita semalam.
Terdahulu, empat remaja ditahan polis Ahad lalu setelah disyaki terbabit dalam kes rogol dan menyebarkan bahan lucah di media sosial.
Kesemua mereka berumur 15 hingga 17 tahun kini ditahan reman bagi membantu siasatan selepas ibu mangsa membuat laporan polis kira-kira pukul 11 pagi selepas dimaklumkan guru disiplin berkaitan penularan rakaman video membabitkan anaknya.
Adzli berkata, salah seorang daripada empat remaja lelaki yang ditahan dipercayai merupakan teman lelaki mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Lima sekolah sama.
Katanya, tiga lagi suspek terdiri dua pelajar sekolah sama manakala bakinya bekas pelajar yang dibuang sekolah Ogos lalu kerana masalah disiplin.
“Hasil siasatan mendapati kes ini bukanlah rogol secara paksa, tetapi lebih kepada masalah sosial. Walaupun atas dasar suka sama suka, perlu diingatkan bahawa mangsa masih bawah umur, tidak matang untuk memahami akibat perbuatannya,” katanya.-UTUSAN










