KUBANG PASU: Gabungan antara seni khat dan lukisan potret semakin mendapat tempat dalam kalangan penggiat seni tempatan apabila karya itu diberi nafas baharu dengan penghasilan potret figura terkenal, tokoh agama dan pemimpin negara.
Seni khat yang selama ini sinonim dengan keindahan kaligrafi Arab kini diserlahkan dalam bentuk lebih segar apabila digabungkan dengan unsur realisme melalui lukisan potret yang menggunakan selawat.
Hasilnya, tercipta karya yang bukan sahaja memukau dari segi visual, tetapi juga sarat dengan nilai spiritual dan makna yang penuh mendalam.
Arief Asyhraf Zaidi, 29, antara pelukis kaligrafi Islamik yang aktif menghasilkan lukisan potret dengan bersulamkan pelbagai jenis selawat mengikut permintaan pelanggan.
Katanya, ilham menghasilkan potret berasaskan khat timbul hasil dorongan gurunya, Mohammad Neezam Mohd Ariffin yang mengelolakan Dewan Selawat Raudhah Muhibbin di Jitra, Kedah.
“Saya mula memegang pena khat ataupun menceburi dalam tulisan khat bermula 2010 iaitu ketika di Sekolah Menengah Agama Maahad Tahfiz Abidin di Pendang bersama dengan Ustaz Zuhud Ulia Ibrahim.
“Kemudian saya mendalami dengan lebih dalam ketika menyambung pengajian ke Universiti Al-Azhar As-Syariff, Mesir daripada tokoh tulisan khat dunia iaitu Sheikh Belaid Hamidi dari Maghribi,” katanya ketika ditemui semalam.
Katanya, antara selawat yang digunakan dalam lukisan potretnya adalah selawat Nuril Anwar daripada Syeikh Ahmad Al Badawi dan selawat Mahiz Zolam yang dikarang sendiri oleh Mohammad Neezam.
Arief Asyhraf yang kini terus mendalami tulisan khat bersama Puma Lorenki dari Indonesia berkata, dia juga pernah menulis selawat Azimiyah iaitu selawat yang panjang daripada Sayyid Ahmad bin Idris.
“Proses menulis khat termasuk ketika menghasilkan potret ada adab tersendiri seperti disiapkan dalam suasana tenang, nasihat guru saya juga kalau boleh kena berwuduk dan pasangkan alunan al-Quran untuk kita dengar sambil menulis atau melukis.
“Boleh juga berselawat ataupun Qasidah memuji nabi atau lagu-lagu yang tidak leka dan sebaiknya hasil-hasil tulisan ketika latihan jangan buang merata-rata, kalau nak hapuskan ikut seperti mana kita hapuskan al-Quran,” katanya.
Kata ahli Kumpulan Babul Mustofa itu, dia menggunakan khat Diwani Jali untuk menghasilkan lebih 500 khat potret setakat ini, manakala khat Nasakh dan Thuluth bagi 500 tulisan khat biasa.-UTUSAN










