Kehilangan nyawa di sekolah: Sistem pendidikan, tadbir urus kerajaan gagal - Utusan Malaysia

Kehilangan nyawa di sekolah: Sistem pendidikan, tadbir urus kerajaan gagal

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kehilangan nyawa di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat dan mendidik menunjukkan sistem pendidikan dan tadbir urus kerajaan telah gagal berfungsi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejadian melibatkan pelajar perempuan berusia 16 tahun itu bukan sekadar satu tragedi tetapi tamparan besar terhadap sistem pendidikan negara yang sepatutnya melindungi masa depan generasi muda.

Katanya, tindakan segera perlu diambil antaranya menubuhkan jawatankuasa siasatan bebas bagi menyiasat punca sebenar dan meneliti kelemahan dasar keselamatan sekolah yang wujud selama ini.

“Anak ini pergi terlalu awal di tempat yang sepatutnya menjadi simbol harapan, bukan medan tragedi.

“Kegagalan demi kegagalan ini juga mencerminkan kegagalan kerajaan secara keseluruhannya, sebuah kerajaan yang sering melaungkan nilai kasih, hormat dan ihsan, tetapi gagal memastikan keselamatan paling asas untuk kanak-kanak di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bedah siasat pelajar perempuan yang maut akibat ditikam dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama di sini, semalam telah selesai dijalankan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, mayat telah dituntut keluarga mangsa pada pukul 7.30 pagi tadi di Unit Patologi Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Pelajar lelaki berusia 14 yang menikam mangsa ditahan reman tujuh hari.

Muhyiddin berkata, dalam perdebatan Belanjawan 2026, PN menuntut Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan memperuntukkan perbelanjaan memperketat sistem pemantauan keselamatan sekolah termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kritikal, rondaan keselamatan berkala dan kerjasama langsung dengan polis.

Katanya, saringan psikososial dan program intervensi awal bagi pelajar yang menunjukkan tanda-tanda tekanan, agresif atau berisiko melakukan keganasan juga perlu dilakukan.

“Wajibkan latihan keselamatan dan pengurusan krisis untuk semua guru serta warga sekolah supaya mereka mampu bertindak segera apabila berlaku ancaman.

“Menteri Pendidikan dan kepimpinan tertinggi kerajaan mesti turun padang sendiri, bukan sekadar menghantar pegawai bagi menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan dalam menangani isu ini.

“Kegagalan melindungi anak-anak ini bukan hanya kegagalan kementerian ia kegagalan moral dan tanggungjawab seluruh kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN