Kebersihan itu tuntutan Islam

Kebersihan itu tuntutan Islam

NURAZMAN CHE HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAM adalah agama yang sangat menitikberatkan soal kebersihan lahiriah dan batiniah.

Setiap Muslim wajib memahami bahawa menjaga kebersihan diri bukanlah perkara sampingan, sebaliknya ia sebahagian daripada tuntutan agama yang tidak boleh dipandang remeh.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran: “Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (Surah al-Baqarah: 222).

Berkongsi pandangan dengan Mingguan Malaysia, Imam Tua Masjid Al-Falah, Mukim Kuala Kandis, Bachok, Imam Nurazman Che Hassan berkata, firman itu membuktikan kebersihan lahir dan batin menjadi asas untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Menurutnya, ramai orang bersemangat menunaikan solat, puasa dan haji, namun, mereka lupa ibadat tersebut tidak akan sah tanpa asas kebersihan yang betul, khususnya dalam soal wudhu, mandi wajib (junub) dan menjaga kebersihan pakaian serta tempat ibadat.

Katanya, hadis yang diriwayatkan Imam Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman” perlu dihayati.

Menurutnya, hadis berkenaan tidak sekadar menuntut kebersihan tubuh, tetapi juga persekitaran, makanan, hati dan akhlak.

Malangnya, tambah beliau, masih ada dalam kalangan masyarakat kita yang mengabaikan ilmu taharah.

“Ada yang marah apabila ditanya tentang mandi wajib, seolah-olah ia perkara memalukan untuk dipelajari.

“Sedangkan, tanpa mandi wajib yang sempurna, solat dan ibadat lain tidak diterima Allah SWT,” katannya ketika ditemui di Masjid al-Falah, Kuala Kandis, Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Nurazman berkata, menurut mazhab Imam Syafie, menggosok anggota badan ketika mandi wajib adalah sunat, manakala dalam mazhab lain ia rukun yang wajib.

“Perbezaan ini menunjukkan pentingnya kita belajar secara mendalam supaya tidak tersilap dalam beramal,” katanya.

Dalam bab wudhu pula, katanya, Rasulullah SAW menegaskan wajib membasuh seluruh anggota dengan sempurna, termasuk celah-celah jari dan kawasan tersembunyi.

“Nabi SAW pernah menegur seorang sahabat yang meninggalkan sedikit bahagian kaki tidak terkena air wudhu sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim.

“Kebersihan bukan sahaja terbatas kepada ibadat peribadi. Rumah, masjid, tandas awam, pantai dan kawasan sekeliling juga perlu dijaga.

“Jika masjid yang menjadi rumah Allah dipenuhi sampah atau berbau busuk, pasti hilang kekhusyukan ibadat jamaah.

“Termasuk juga bab menjaga kebersihan pantai dan sungai di mana Islam menegah umatnya membuang sampah di tempat awam kerana ia mengganggu orang lain,” katanya.

Hakikatnya, tambah Nurazman , kebersihan juga melibatkan soal dalaman, iaitu menyucikan hati daripada sifat tercela seperti hasad, sombong dan dengki yang disebut sebagai taharah batiniah.

“Orang yang bersih hatinya akan lahir sifat mahmudah seperti sabar, ikhlas dan tawaduk.

“Malangnya, masih ramai umat Islam yang mengabaikan ilmu ini. Mereka lebih gemar berbicara soal dunia, tetapi enggan meluangkan masa mendalami bab asas agama,”katanya.

Nurazman berkata, ilmu kebersihan dalam Islam wajib dipelajari kerana ia berkaitan sah atau batalnya ibadat.

“Jangan sekali-kali malu bertanya, kerana rasa malu dalam perkara agama boleh menjerumuskan kepada kelalaian.

“Selain tubuh badan, Islam juga menekankan kebersihan makanan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah: 168 –“Wahai manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik,” terangnya.

Menurut beliau, bersih daripada sudut sumber rezeki juga amat penting di mana harta yang diperoleh melalui jalan haram akan menjadi darah daging yang menghitamkan hati.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka lebih utama baginya.” (Riwayat al-Tirmizi).

“Rasulullah SAW sendiri adalah teladan terbaik. Baginda sentiasa menjaga kebersihan pakaian, mulut dan tempat tinggalnya.

“Bahkan, Baginda menganjurkan penggunaan siwak untuk membersihkan gigi sehingga menjelang kewafatan,” tegasnya.

Nurazman berkata, sudah sampai masanya umat Islam khususnya generasi muda memperbaharui tekad untuk menjadikan kebersihan sebagai budaya hidup, bukan sekadar slogan.- UTUSAN

 

IMAM NURAZMAN CHE HASSAN
Umur: 56 tahun
Asal:
• Kampung Kandis, Bachok, Kelantan
Sejarah pendidikan:
• Maahad Amir Inderaputera, Beris Kubur Besar, Bachok, Kelantan
• Pusat Pengajian Islam Pondok Moden Kelantan
Tugas hakiki:
• Imam Tua Masjid al-Falah Mukim Kuala Kandis,Bachok, Kelantan
• Tenaga pengajar Pondok Moden Bachok, Kelantan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN