PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Berhad (Maybank IB) menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.9 peratus tahun ini daripada 5.1 peratus sebelumnya, susulan konflik di Asia Barat yang menyebabkan ketidaktentuan harga minyak mentah global.
Bank pelaburan berkata, unjuran tersebut berdasarkan kes asas bahawa harga minyak turun ke paras yang lebih rendah dan beberapa bentuk gencatan senjata diisytiharkan menjelang suku kedua.
Katanya, Maybank IB menjangkakan harga minyak akan mencapai purata sekitar AS$75 (RM295.35) setong pada 2026 [meningkat daripada AS$65 (RM256.06)] dan AS$70 (RM275.72) setong pada 2027 [meningkat daripada AS$66 (RM259.95)], berdasarkan jangkaan konflik yang bersifat sementara serta pemulihan bekalan minyak secara beransur-ansur.
“Polymarket menganggarkan kebarangkalian 54 peratus untuk gencatan senjata antara AS dan Iran menjelang akhir Jun dan 71 peratus menjelang akhir Disember 2026 setakat 20 Mac 2026.
“Ini menunjukkan bahawa kejutan tenaga berkemungkinan berlanjutan antara suku pertama hingga kedua tahun ini. Niaga hadapan minyak Brent bagi penghantaran Disember 2026 kini didagangkan sekitar AS$83 (RM326.95) setong, kira-kira 18 peratus lebih rendah berbanding paras harga semasa,” katanya dalam nota penyelidikan.
Maybank IB berkata, kejutan tenaga ini juga boleh reda walaupun tanpa gencatan senjata, selagi penghantaran minyak dapat mengelak sekatan dan bekalan global dipulihkan secara berperingkat.
Sebagai perbandingan, bank pelaburan berkata, konflik Rusia-Ukraine yang masih berlarutan selepas empat tahun hanya mencetuskan kejutan harga minyak awal yang bertahan kurang daripada dua bulan.
“Kami menganggarkan jumlah sebenar bekalan minyak yang berisiko akibat sekatan ketika ini adalah sekitar lapan juta tong sehari (mbpd), iaitu kira-kira 60 peratus lebih rendah daripada jumlah sebenar 20 mbpd yang melalui Selat Hormuz.
“Faktor mitigasi termasuk pengalihan bekalan melalui saluran paip (8.5 mbpd), eksport berterusan minyak Iran (1.5 mbpd), laluan selamat kapal tangki China dan India (5.9 mbpd), pelepasan minyak Rusia yang tersangkut (128 juta tong) serta penggunaan rizab minyak (650 juta tong oleh Agensi Tenaga Antrabangsa (IEA), AS dan Jepun).
“Negara bukan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) menyumbang sekitar 53 peratus daripada bekalan minyak global dan berpotensi meningkatkan pengeluaran sebanyak kira-kira 1.2 hingga 1.3 juta tong sehari pada 2026,” jelasnya.
Bagaimanapun, Maybank IB mengekalkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 4.7 peratus pada 2027.
Selain itu, bank pelaburan juga menjangkakan dasar monetari negara ini akan kekal pada kadar semasa berbanding bank pusat di Filipina yang dijangka akan menaikkan 25 mata asas dan Singapura akan mengetatkan (melalui kecenderungan penghargaan yang lebih tinggi pada bulan April).
“Bank pusat ASEAN yang lain mungkin akan kekal menangguhkan pada tahun 2026.
“Harga tenaga dan subsidi bahan api yang lebih tinggi akan menambah beban fiskal Indonesia, Thailand dan Malaysia.
“Siling defisit fiskal tiga peratus Indonesia mungkin diuji jika kejutan minyak berpanjangan. Malaysia (pengeksport tenaga bersih) dan Singapura (rizab fiskal yang besar) berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengharungi kesan buruk ini,” ujarnya. – UTUSAN










