Kami diperlaku seperti binatang’ – Sukarelawan Malaysia dedah kekejaman rejim Zionis

Kami diperlaku seperti binatang’ – Sukarelawan Malaysia dedah kekejaman rejim Zionis

SERING bergandingan dengan adik, Hazwani Helmi dalam misi kemanusiaan. -UTUSAN/FAIZ ALIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Mereka menyeretnya dengan kasar serta menekap bendera Israel di wajahnya dan menyuruhnya mencium (bendera itu). Mereka melayannya seperti binatang.”

Itu antara pendedahan menyayat hati dibuat sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF), Hazwani Helmi, mengenai layanan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis terhadap aktivis alam sekitar terkenal dari Sweden, Greta Thunberg yang kini dilaporkan masih dalam tahanan tentera Israel.

Hazwani yang juga penyanyi dan aktivis kemanusiaan menceritakan pengalaman perit itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Istanbul, Turkiye malam tadi selepas dibebaskan oleh tentera Israel.

“Sampai sekarang kami masih belum dapat semula barangan kami. Dunia perlu tahu kekejaman mereka,” katanya dalam temu bual bersama agensi berita Al Jazeera, sebaik mendarat kira-kira pukul 8.40 malam (waktu tempatan).

Selain itu, salah seorang sukarelawan dari Amerika Syarikat (AS), Windfield Beaver berkata, Greta dilayan sangat teruk berbanding yang lain ketika dalam tahanan.

“Saya melihat sendiri bagaimana mereka memukulnya. Mereka memasang bendera Israel pada wajahnya. Mereka mengikatnya pada troli dan menyeretnya. Mereka memukulnya sesuka hati di mana sahaja mereka mahu,” katanya ketika sesi temu bual bersama media tempatan di Lapangan Terbang Istanbul semalam.

Tambahnya, Greta dibawa ke bilik tertutup di mana Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir dikatakan turut hadir ke ruang itu.

“Ben-Gvir masuk ke dalam bilik bersama dia (Greta). Kami hanya mampu mendengar jeritan. Ia sangat menakutkan,” kongsinya.

Menurut laporan antarabangsa, Greta, 22, masih ditahan pihak berkuasa Israel, manakala kerajaan Sweden kini sedang berunding bagi membawanya pulang melalui saluran diplomatik dan undang-undang.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengesahkan seramai 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi GSF telah selamat tiba di Istanbul dan kini menerima pemeriksaan kesihatan serta sokongan psikologi penuh daripada pihak berkuasa Turkiye.

Kumpulan tersebut diterbangkan menggunakan pesawat khas kerajaan Turkiye TK6921 dari Lapangan Terbang Ramon, Israel, dan dijangka pulang ke tanah air malam ini atau esok.

Misi GSF yang disertai aktivis dari pelbagai negara itu dilancarkan bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, namun ditahan secara paksa oleh tentera Israel ketika dalam pelayaran di perairan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN