Kahwin bawah umur elak mudarat

Kahwin bawah umur elak mudarat

Mohamad Shukri Mohamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkahwinan bawah umur dalam Islam dibenarkan dalam keadaan tertentu, terutama jika langkah itu dapat mengelakkan kemudaratan yang lebih besar.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Kelantan) memberi ruang kepada kebenaran perkahwinan bawah umur dengan syarat-syarat yang ketat termasuk kelulusan mahkamah syariah.

“Dalam Islam, kita melihat sesuatu perkara berdasarkan kemaslahatan dan menolak kemudaratan. 

“Kalau ada kes tertentu yang boleh membawa kepada perbuatan tidak bermoral, maka perkahwinan boleh menjadi jalan keluar yang lebih baik,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam. 

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Wilayah Nara­thiwat (MAIWN) dilaporkan menolak 20 permohonan pasangan bawah umur melibatkan rakyat Malaysia yang datang untuk bernikah di tiga pejabat agama Islam wilayah itu, selari peraturan ketat yang dikuatkuasakan negara itu. 

Mohamad Shukri memberi contoh situasi apabila pasangan muda sudah menunjukkan hubungan rapat yang boleh membawa kepada keterlanjuran.

“Katakanlah mereka kerap bersama, contohnya berdua-duaan atau membonceng motosikal ke sana ke mari, kemungkinan untuk berlaku keterlanjuran itu ada. 

“Jadi kalau kita tak benarkan mereka berkahwin dan kemudian perkara yang tidak diingini berlaku, akhirnya kita juga akan suruh mereka berkahwin selepas itu. Maka dalam keadaan itu, lebih baik disegerakan perkahwinan untuk elak dosa,” jelasnya.

Namun begitu, beliau menegaskan kelonggaran tersebut tidak bermaksud Islam menggalakkan perkahwinan bawah umur secara terbuka, sebaliknya ia hanya dibenarkan apabila ada alasan kukuh dan mendapat kebenaran pihak berkuasa agama serta mahkamah syariah.

“Kalau sudah berlaku keterlanjuran, itu jelas tidak baik. Maka dalam keadaan tertentu, perkahwinan bawah umur dianggap pilihan yang lebih baik berbanding membiarkan perkara maksiat berlaku. 

“Kita tidak boleh samakan pendekatan dengan barat. Mereka melihat perkahwinan bawah umur sebagai pelanggaran hak asasi, sedangkan dalam Islam, ia dilihat melalui konteks tanggungjawab, maruah dan kemaslahatan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN