SETIAP kali sesebuah program realiti memeriahkan layar kaca, selain peserta yang dinanti-nantikan juga adalah siapa barisan juri yang bakal mengadili. Juri juga sama penting selain peserta dan pengacara.
Oleh sebab itu, ada produksi yang berbelanja lebih untuk memastikan barisan juri yang dipersembahkan sama taraf dengan prestijnya program tersebut. Apatah mereka adalah mata yang mengadili kan.
Cuma sejak kebelakangan ini, terutama selepas ‘lahirnya’ ramai guru vokal tidak bertauliah serta demokrasi bersuara di media sosial, satu demi satu juri program realiti menerima kecaman.
Terkini, Datuk AC Mizal sebagai juri program Talk To My Manager. Ada segelintir pihak berpendapat, anggota 4U2C ini tidak sesuai duduk di kerusi juri. Lebih baik hanya kekal sebagai pengacara, itu antara pendapat yang dibaca.
Paling tidak manis apabila ada yang mendakwa pengacara popular itu pilih kasih dan hanya menumpukan seluruh perhatian kepada peserta kegemaran. Bagi Poklip, untuk menghamburkan dakwaan itu, tidak adil.
Poklip pernah menonton program itu dan berpendapat, komen yang diberikan AC Mizal ada benarnya.
Cuma mungkin gaya penyampaiannya yang berbeza membuatkan ada pihak tidak suka.
Tetapi tidak bermakna dia tidak layak sama sekali untuk berada di kerusi itu.
Pengalaman dan ilmu seni yang dimiliki rasanya cukup untuk dikongsi dengan peserta terutama pendatang baharu.
Sebelum ini, penyanyi Mas Idayu juga pernah berdepan kritikan. Cara penjurian, lontaran komen membuatkan ada segelintir kurang senang. Mungkin tidak ramai yang suka juri bersikap jujur dan lantang.
Malah, Ajai yang kini dipuji sebagai juri yang baik juga satu ketika dahulu pernah berdepan kritikan kononnya tidak bagus dalam memberi komen.
Dia juga pernah didakwa pilih kasih dan memberikan markah tinggi kepada peserta favorite.
Bagi Poklip beri peluang kepada penggerak industri seni kita untuk berkongsi pengalaman.
Memang benar kadang-kadang pendapat dia tidak selari dengan pandangan kita tetapi bukankah kita juga didorong oleh emosi?
Bila kita suka atau gemar dengan mana-mana peserta secara tidak langsung kita ada empati dan mungkin sukar menerima hakikat mereka juga manusia biasa yang melakukan kesilapan juga?
Tetapi Poklip juga berpendapat, sudah tiba masanya juga kita mengangkat juri-juri dalam kalangan belakang tabir. Guru vokal, Siti Hajar contohnya pernah menjadi guru kepada ramai penyanyi hebat.
Pastinya dia mempunyai input bernas yang boleh membantu anak muda kini dalam memperbaiki nyanyian. Malah, jika dari sudut lakonan, kita ada ramai award-winning pelakon yang berkaliber.
Mungkin juga ada kalangan mereka tidak pandai melontarkan pandangan. Maka kedengaran kekok atau tidak kena. Tetapi tidak bermakna mereka tidak layak atau kurang ilmu tentang dunia seni.
Anuar Zain, Ramlah Ram antara nama yang disebut-sebut boleh menjadi juri yang baik tetapi setahu Poklip, penyanyi Cinta Harus Memiliki itu enggan duduk di kerusi juri. Khabarnya, dia juga tidak yakin.
Bukan apa, macam Poklip cakap tidak semua tahu bagaimana menjurikan sesuatu itu. Bagi mereka, sebagai penyanyi mereka menyanyi. Jika mahu berkongsi ilmu dan nasihat, boleh sahaja di belakang pentas.
Malah penglibatan artis luar negara terutama Indonesia sebagai juri juga memberikan impak berbeza. Mungkin dari sudut pengaruh dan populariti boleh membantu peserta melonjakkan nama di gelanggang berbeza?
Cuma produksi harus meneliti dan membaca kemahuan penonton. Jangan syok sendiri dan meletakkan entah sesiapa sebagai juri. Juri itu ada mandat tinggi. Tidak boleh main-main. Jangan sebab popular sahaja.