JUMLAH dagangan Malaysia dengan China meningkat 6.3 peratus kepada RM248.8 bilion, manakala dengan Amerika Syarikat (AS) melonjak sebanyak 32.6 peratus kepada RM186.6 bilion pada separuh pertama 2025 berbanding tempoh sama pada 2024.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2026, bagaimanapun, eksport ke China menyusut sebanyak 4.3 peratus antaranya disebabkan oleh pengurangan permintaan terhadap barangan perlombongan.
“Eksport ke AS pula meningkat sebanyak 28 peratus berikutan peningkatan permintaan untuk barangan pembuatan dan pertanian.
“Sementara itu, import daripada kedua-dua negara meningkat ketara iaitu sebanyak 13 peratus dari China dan 40 peratus dari AS,” katanya.
Jelasnya, Malaysia dan China telah mengekalkan hubungan ekonomi yang kukuh selama beberapa dekad dengan China sebagai rakan dagang utama Malaysia sejak 2009.
“Sementara itu, Malaysia merupakan antara 10 rakan dagang utama China pada peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Malaysia merupakan pengimport bersih dengan import dari China berjumlah RM296.5 bilion pada 2024 terutamanya produk elektrik dan elektronik (E&E) (40.3 peratus), jentera, kelengkapan dan peralatan (12.5 peratus), kimia dan produk kimia (8.1 peratus) dan barangan pembuatan logam (6.3 peratus).
“Selain itu, eksport ke China berjumlah RM187.8 bilion antaranya termasuk produk E&E (36.2 peratus), kimia dan produk kimia (9.7 peratus), LNG (8.2 peratus) dan barangan pembuatan logam (7.1 peratus),” ujarnya.
Sementara itu, AS pula merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia pada 2024 dengan nilai dagangan berjumlah RM325.2 bilion atau 11.3 peratus daripada jumlah dagangan.
“Malaysia merupakan pengeksport bersih ke AS dengan eksport berjumlah RM198.9 bilion dan import sebanyak RM126.3 bilion dalam tempoh tersebut.
“Eksport utama ke AS adalah produk E&E (60.4 peratus) produk pembuatan lain (8.7 peratus), barangan optik dan saintifik (6.5 peratus) serta jentera, kelengkapan dan peralatan (4.4 peratus), sekali gus memperlihatkan kepelbagaian dan kekuatan Malaysia sebagai hab pembuatan termaju global.
“Dalam pada itu, import utama dari AS adalah produk E&E (43 peratus), jentera, kelengkapan dan peralatan (15.5 peratus), kimia dan produk kimia (7.7 peratus) dan barangan pembuatan logam (7.4 peratus) bagi mempercepat kemajuan teknologi dan inovasi dalam memacu pertumbuhan nilai ditambah tinggi dalam industri,” katanya. – UTUSAN











