SHAH ALAM: Juara program realiti Kilauan Emas 2025, Mazleen Abu Bakar, 45, menafikan dakwaan beliau merupakan seorang ‘scammer’ seperti didakwa beberapa pihak.
Menurut Mazleen, dakwaan kononnya beliau gagal melunaskan sejumlah bayaran kepada vendor kiosk perniagaan adalah bersifat ‘nakal’ selain mencemarkan reputasinya.
“Saya tidak melarikan diri. Sebaliknya, saya mengambil cuti selama enam bulan daripada operasi perniagaan untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertandingan Kilauan Emas.
“Tempoh uji bakat dan komitmen sepanjang pertandingan memerlukan fokus penuh.
“Maka, saya mengambil keputusan untuk bercuti daripada semua urusan kerja lain dan sudah maklumlan kepada yang terlibat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mazleen enggan mencampur aduk urusan perniagaan dengan bidang nyanyian.
“Saya anggap ia sekadar gangguan yang tidak wajar. Dunia kerja dan nyanyian adalah dua perkara berbeza. Tidak adil untuk mencampuradukkan kedua-duanya.
“Saya percaya setiap individu ada urusan dan cabaran peribadi masing-masing.
Malah, bukan saya seorang yang pernah berdepan isu dalam perniagaan. Ramai usahawan lain turut mengalami perkara sama,” ujarnya.
Tambahnya, beliau akan tampil membetulkan salah faham dan memulakan operasi perniagaan seperti biasa memandangkan pertandingan sudah selesai.
“Saya di sini kerana minat dan bakat dalam bidang nyanyian. Isu perniagaan akan saya selesaikan secara profesional dan saya akan kembali bekerja seperti biasa selepas ini,” katanya.
Terdahulu, timbul dakwaan Mazleen gagal
melunaskan bayaran kepada pembekal vendor berjumlah RM3,600. Mazleen juga dikatakan tidak membalas mesej selain memberikan bukti transaksi palsu. -UTUSAN