PETALING JAYA: Tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak cadangan penubuhan kerajaan Perpaduan bersama DAP selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan keputusan peribadi, sebaliknya dibuat selaras dengan dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad berkata, prinsip untuk tidak bekerjasama dengan DAP telah lama menjadi dasar parti berkenaan dan tindakan Muhyiddin sebagai Presiden adalah berasaskan pendirian tersebut.
“Tan Sri Muhyiddin tidak berbincang dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebelum membuat keputusan menolak kerjasama dengan DAP. Adakah itu salah? Tidak, kerana ia sudah menjadi dasar Bersatu untuk tidak bekerjasama dengan DAP. Presiden bertindak mengikut dasar parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa Muhyiddin tidak berbincang dengan Majlis Tertinggi PN sebelum membuat keputusan menolak cadangan penubuhan kerajaan Perpaduan yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong ke-16 selepas PRU15.
Beliau mendakwa keputusan cadangan itu dibuat dengan segera oleh Muhyiddin di hadapan Yang di-Pertuan Agong selepas beberapa ketua parti termasuk Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil menghadap baginda di Istana Negara pada 22 November 2022.
Ketika itu, tiada mana-mana parti politik yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan menyebabkan Sultan Abdullah menitahkan penubuhan kerajaan Perpaduan.
Menurut Marzuki, Muhyiddin tidak bertindak secara bersendirian kerana turut bersama dalam sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong ketika itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Katanya, keputusan itu terbukti tepat apabila Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Bersatu dan Pas mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 sekali gus menunjukkan penerimaan pengundi Melayu terhadap pendirian parti tersebut.
“Pas juga berpegang pada dasar yang sama iaitu tidak bekerjasama dengan DAP.
“Jika keputusan itu salah, PN pasti kalah teruk. Namun faktanya PN menang besar di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, malah hampir menawan Selangor serta mencatat kemajuan di Pulau Pinang dan Negeri Sembilan,” katanya.
Marzuki berkata, sebahagian besar pengundi Melayu yang sebelum ini menyokong UMNO telah beralih arah kepada PN kerana tidak bersetuju dengan keputusan UMNO bekerjasama dengan DAP selepas PRU15.
“UMNO bincang dalam Majlis Tertinggi (MT) untuk bekerjasama dengan DAP, tetapi kesannya, UMNO ditolak oleh penyokongnya sendiri.
“Sebaliknya, Bersatu tidak bincang dalam MPT untuk menolak kerjasama dengan DAP dan penyokong kekal bersama Bersatu. Malah, penyokong UMNO turut beralih menyokong Bersatu,” jelasnya.
Beliau menyifatkan keputusan Muhyiddin dan Abdul Hadi sebagai satu ijtihad politik yang tepat berdasarkan realiti sokongan rakyat terhadap prinsip parti yang konsisten.
Marzuki turut menempelak segelintir pihak dalam Bersatu yang mempersoalkan keputusan Presiden hanya kerana parti itu kini bukan sebahagian daripada kerajaan.
“Ada yang sanggup melanggar dasar parti semata-mata mahu berkuasa. Ini politik Machiavelli iaitu ‘by hook or by crook’ mesti dapatkan kuasa. Namun, dalam politik Malaysia hari ini, menjadi kerajaan tidak lagi menjamin kelebihan dalam pilihan raya,” katanya.
Jelas beliau, perubahan landskap politik sejak dua dekad lalu menunjukkan parti pemerintah tidak semestinya mendapat kelebihan undi, justeru langkah tergesa-gesa untuk kembali berkuasa boleh memakan diri.
“Dalam PRU12, kerajaan hilang majoriti dua pertiga, PRU13 hilang undi popular, PRU14 dan PRU15 pula parti kerajaan kalah. Jadi, jangan gelojoh. Menjaga prinsip lebih utama daripada memburu kuasa,” katanya. – UTUSAN










