PETALING JAYA: Orang ramai termasuk media diingatkan tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif berhubung kes gangguan seksual melibatkan pelajar sekolah di Melaka.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, semua pihak dan media perlu melaporkan secara beretika dan bertanggungjawab tanpa menyiarkan kandungan sensasi yang boleh menjejaskan siasatan atau memberi tekanan emosi kepada mangsa.
Katanya, mereka juga diingatkan supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif yang boleh menyebabkan identiti mangsa dikenal pasti selaras dengan larangan dalam Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
“MCMC memandang serius laporan sebaran rakaman video kes salah laku seksual yang melibatkan beberapa orang pelajar di sebuah sekolah di Melaka.
“Orang ramai turut diingatkan bahawa tindakan menyebar atau mengedarkan video atau bahan sedemikian menerusi perkhidmatan dalam talian boleh menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya dalam kenyataan.
Menurut MCMC, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penyedia perkhidmatan bagi memastikan sebarang kandungan berpotensi mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi mangsa dapat diturunkan daripada platform media sosial.










