Jangan samakan peranan LPT3 dengan ECRL 

Jangan samakan peranan LPT3 dengan ECRL 

MUHAMAD HAMDI HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda Pas Terengganu menegaskan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup kelewatan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) yang sudah tertangguh hampir dua dekad.

Ketuanya, Muhamad Hamdi Harun berkata, kemajuan ECRL tidak boleh dijadikan bukti kerajaan Persekutuan memberi perhatian sewajarnya kepada Pantai Timur kerana kedua-dua projek itu mempunyai fungsi berbeza.

“ECRL menghubungkan antara bandar utama manakala LPT3 menyambung jaringan darat yang menjadi nadi pergerakan ekonomi rakyat luar bandar, petani, peniaga kecil dan pelancong tempatan. Kelewatan LPT3 bermakna pembangunan ekonomi sebenar rakyat Pantai Timur masih tersekat,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Projek pembinaan LPT3 diumum sejak Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 2006 dengan kos asal RM2.867 bilion, namun kini meningkat kepada RM9.8 bilion.

Isu pembinaannya kembali hangat selepas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Ahli Parlimen Kemaman menuntut komitmen penuh Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan projek itu yang didakwa belum mendapat perhatian sewajarnya.

Kelmarin, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu menegaskan keputusan Kerajaan Persekutuan meneliti semula pelaksanaan LPT3 bukan bermaksud mengabaikan pembangunan di Pantai Timur.

Ketua Penerangannya, Aiman Wan Alias dilaporkan berkata, dakwaan bahawa kelewatan projek itu disebabkan sikap sambil lewa kerajaan Persekutuan adalah tidak berasas dan bercanggah dengan fakta sebenar.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya Pantai Timur dianaktirikan dan menegaskan kejayaan Projek ECR  yang kini mencatat kemajuan lebih 90 peratus di Terengganu membuktikan komitmen kerajaan terhadap pembangunan seimbang.

Menurut Muhamad Hamdi, isu LPT3 bukan soal parti tetapi mengenai hak rakyat Pantai Timur untuk menikmati kemudahan infrastruktur yang seimbang dan adil.

Justeru itu, beliau menyeru Kerajaan Persekutuan supaya mengumumkan garis masa jelas pelaksanaan LPT3  termasuk tarikh tender, anugerah kontrak dan permulaan kerja lapangan.

Beliau juga menggesa kerajaan menjamin kadar tol yang berpatutan agar rakyat Pantai Timur tidak menanggung beban ekonomi yang lebih tinggi apabila menggunakan kemudahan jaringan pengangkutan LPT3 kelak.

“Dewan Pemuda Pas Terengganu mahu Kerajaan Persekutuan Memberi jaminan rasmi bahawa projek ini tidak dibekukan, sebaliknya disegerakan dengan pelaksanaan fasa pertama yang nyata selain mengadakan libat urus dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan, agar pandangan teknikal serta tempatan diambil kira,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN