Jangan normalisasi budaya berkaitan arak

Jangan normalisasi budaya berkaitan arak

MOHD. Na'im Mokhtar (tiga dari kiri) ketika merasmikan Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Arak atau budaya yang berkaitan dengannya tidak wayar dinormalisasikan oleh orang Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, orang Islam perlu lebih sensitif memandangkan pengambilan arak adalah haram termasuk segala bentuk penglibatannya.

“Saya rasa daripada sudut hukum tentang arak ini adalah jelas. Sudah tentu dalam keadaan semasa, kita tidak mahu arak ini dinormalisasikan.

“Jadi, kena tahu mana yang boleh dan mana yang tidak boleh. Sebab itu, saya selalu ingatkan, dapatkan panduan hukum daripada pihak yang berautoriti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan logo dan podcast qawwam pada Seminar Lelaki Qawwam Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini hari ini.

Menurut Mohd. Na’im, pada masa sama tiada halangan untuk orang bukan Islam untuk meminum arak dan ia dibenarkan.

“Saya mengharapkan dalam konteks orang bukan Islam untuk ada sensitiviti, maknanya orang bukan Islam menghormati budaya kita (orang Islam) dan begitu juga sebaliknya.

“Perlunya setiap masyarakat memahami dan menghormati sensitiviti agama serta budaya satu sama lain bagi pembentukan sebuah negara Madani yang aman damai,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai qawwam, beliau berkata, istilah qawwam seperti mana dalam al-Quran merujuk kepada tanggungjawab yang menuntut lelaki memimpin, melindungi dan membimbing keluarga.

“Kita berdepan dengan peningkatan kadar penceraian, anak terabai, gejala sosial yang berpunca daripada pengabaian tanggungjawab lelaki qawwam sebagai bapa, suami memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak,” katanya.

Jelas beliau, seminar lelaki qawwam adalah antara 300 program yang dilaksanakan bahagian keluarga, sosial dan komuniti di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memberikan kefahaman kepada golongan lelaki bahawa mereka ini ada tanggungjawab yang besar.

“Jadi, maknanya bermula daripada individu, membawa kepada keluarga, masyarakat, dan negara yang baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN