Jaminan kewangan RM424.7 bilion, kekal bawah had 25 peratus KDNK - Utusan Malaysia

Jaminan kewangan RM424.7 bilion, kekal bawah had 25 peratus KDNK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JUMLAH Jaminan Kewangan negara direkodkan sebanyak RM424.7 bilion atau bersamaan 21.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) setakat akhir Jun 2025, kekal terkawal dan di bawah had statutori 25 peratus seperti diperuntukkan dalam Jadual Pertama kepada Akta 850.

Menurut laporan Tinjauan Ekonomi, Jaminan Kewangan merupakan antara instrumen kuasi-fiskal utama yang digunakan kerajaan bagi membiayai projek infrastruktur strategik dan program pinjaman bersasar.

“Langkah ini membolehkan pelaksanaan projek pembangunan diteruskan tanpa menambah beban fiskal secara langsung kepada kerajaan.

“Pendekatan tersebut turut membantu mengurangkan tekanan terhadap fiskal awam, merancakkan aktiviti ekonomi serta memastikan keperluan rakyat dalam bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan dan kebajikan sosial terus dipenuhi secara berkesan.

“Berdasarkan kerangka perundangan sedia ada, pelaksanaan Jaminan Kewangan ditadbir di bawah empat akta utama iaitu Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61), Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965 (Akta 96), Akta Jaminan Pinjaman 1963 (Akta 412) dan Akta Jaminan Pinjaman 1972 (Akta 66),” katanya.

Tambah laporan itu, susulan pengenalan Akta 850, skop dan pelaporan Jaminan Kewangan telah diseragamkan merangkumi semua instrumen jaminan di bawah empat akta berkenaan.

Langkah ini bertujuan memperkukuh ketelusan dan tadbir urus fiskal melalui pemantauan menyeluruh terhadap pendedahan liabiliti kerajaan.

Menurut laporan itu lagi, kerajaan akan terus melaksanakan dasar berhati-hati dalam pemberian jaminan serta memperkukuh pengurusan risiko fiskal bagi memastikan kelestarian fiskal jangka panjang dan mengekalkan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kewangan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×