JASIN: Malaysia perlu menjadi hab pengeluaran utama buah tin di Asia Tenggara sekali gus mengurangkan kebergantungan import dari negara lain.
Ketua Eksekutif AKE Group, Datuk Dr. Bakhtiar Aliff Ibrahim berkata, pihaknya menerusi syarikat AKE Benefigs juga kini menyasarkan pengeluaran sebanyak satu tan buah tin setiap hari menjelang 2028 bagi memenuhi permintaan pasaran domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata, ladang buah tin milik AKE Benefigs hanya menghasilkan sekitar 15 hingga 20 tan buah tin segar tahun lalu dan jumlah itu belum mampu menampung permintaan dalam dan luar negara.
“Malaysia masih mengimport lebih 600 tan buah tin setiap tahun. Kebanyakkannya dalam bentuk kering atau ekstrak dari Turkiye, Afrika Selatan dan Peru.
“Negara-negara tersebut hanya mampu berbuah antara empat hingga lima bulan setahun tetapi iklim di Malaysia membolehkan pokok tin berbuah sepanjang tahun.
Ini merupakan peluang untuk kita bangunkan bersama dan memperkukuh sekuriti makanan serta mengurangkan kebergantungan import,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ladang Buah Tin AKE Benefigs di sini, hari ini.
Yang hadir sama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan Ketua Pegawai Eksekutif AKE Benefigs, Mohamad Hafidz Arifin.
Sementara itu, Mohamad Hafidz berkata, ladang baharu di Selandar yang beroperasi sejak Mei lalu membolehkan pengeluaran buah tin dipertingkatkan terutamanya bagi penghasilan produk sambal buah tin.
Katanya, ladang berkenaan mempunyai lebih 2,000 pokok buah tin pelbagai varieti termasuk merah dari Jepun dan kuning dari Algeria yang mampu menghasilkan 20 hingga 30 kilogram buah segar sehari.
“AKE Benefigs merupakan pengeluar tunggal produk sambal buah tin dan buat masa ini hanya boleh didapati di ladang sahaja.
“Pengeluaran buah tin masih lagi rendah walaupun mendapat permintaan tinggi untuk eksport ke Singapura. Sebab itu kami menyasarkan pengeluaran satu tan sehari menjelang 2028 bagi memenuhi pasaran tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.










