“Kalau bukan Ellie Suriaty, siapa lagi?”
Itu kata-kata yang terpacul daripada mulut kebanyakan peminat seni lakon tanah air saat mengetahui watak pemimpin ajaran sesat yang dipaparkan dalam drama terbaharu arahan Eirma Fatima, Ibu Aji, dibawakan oleh pelakon prolifik, Ellie Suriaty.
Drama di bawah penerbitan Karya Reels itu menyaksikan Ellie kali ini menggalas watak sebagai seorang wanita yang berkarisma namun penuh tipu daya dengan istilah mudah pada hari ini merujuk kepada penunggang agama.
Maka dengan itu, sudah tentulah Ellie tidak dapat lari daripada kontroversi memandangkan karya ini juga dilihat berani mengangkat isu tabu atau sensitif untuk penonton tempatan.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan penonton, lakonan watak rumit yang melibatkan isu ajaran sesat ini tidak mungkin menjadi kalau dilakonkan oleh orang lain.
Hanya seorang pelakon ‘segila’ Ellie Suriaty mampu membawanya sehingga terasa begitu hidup di layar.
“Ya, saya tak nafikan, memang kena ‘gila’ untuk bawa watak Ibu Aji ini. Tetapi sifat ‘gila’ yang dimaksudkan bukanlah sembrono. Gila itu dalam erti kata keberanian mengambil risiko, kegigihan memahami jiwa watak, serta ketelitian memberi nyawa kepada karakter berlapis-lapis.
“Sebenarnya,Eirma akan tawarkan seseorang aktor itu role yang tepat dengan dirinya. Begitulah. Saya tak nafikan, watak Ibu Aji ini sangat menarik. Graf dia sangat banyak.
“Sekiranya pelakon tidak pandai membawa graf watak tersebut, ia akan jadi flat, sekadar ‘mulut’ yang bercakap dengan dialog yang panjang.
“Tetapi kalau pandai mempelbagaikan dinamik dan grafnya, barulah watak itu hidup. Kalau tidak, dia hanya bercakap tanpa memberi kesan yang menarik kepada penonton,” katanya.
Watak ini juga berbahaya kata Ellie kerana ada fasa di mana ia bercakap benar, misalnya tentang ilmu Makrifat.
Namun dalam masa yang sama, Ibu Aji ini banyak unsur scam atau pembohongan yang diselitkan.
“Dia mula dengan kebenaran. Itu cara dia tangkap perhatian dan tanam kepercayaan. Selepas itu, bila dia selitkan perkara lain, orang akan terus terima sahaja.
“Jadi, sebagai pelakon, kita kena fahamkan dialog supaya ia nampak bijak, meyakinkan, malah kelihatan sangat pintar dan licik.
“Kalau watak ini dibawa secara semberono, ia tak akan menjadi. Malah tak mungkin dapat memperdaya sesiapa,”katanya.
KONTROVERSI
Bercakap mengenai persetujuannya menerima watak berkenaan, kata Ellie, semestinya sebagai seorang pelakon senior dia dapat menghidu bahawa naskhah berkenaan akan menjadi kecaman ramai kerana isu yang diangkat sudah sedia ada kontroversi.
Bagaimanapun, untuk mengatakan dirinya sengaja berkata iya menerima tawaran itu kerana mahu diri menjadi bahan kecaman, kata Ellie, ia tidak benar.
“Sebagai seorang aktor, kita sudah tahu bahawa dalam bidang ini memang mustahil untuk lari daripada kecaman.
“Bukanlah maksudnya saya ambil sesuatu kerja kerana mahu dikecam atau sebab saya suka dikecam. Tidak.Sebaliknya, saya melihatnya sebagai satu tanggungjawab.
“Bila saya kata kita sebagai aktor, kita mainkan peranan dan watak tertentu, itu adalah cerminan. Kita boleh lakonkan kerana kita aktor, tapi kita tak mengharapkan penonton buat benda itu. Cerita ini hanyalah profesionalisme kerja kita. Malah, sebagai pengajaran supaya orang jangan senang termakan dengan skandal. Agama tidak bersalah,” ujarnya.
Tambah Ellie lagi, sepanjang kerjayanya dalam bidang seni, kata kecaman atau kritikan telah menjadi sebahagian daripada asam garam kehidupan.
Namun, khusus untuk watak Ibu Aji, Ellie menaruh harapan bahawa penonton harus mengambil pengajaran dan iktibar daripada apa yang dipaparkan dan bukannya dilihat dari sudut negatif.
“Saya pernah dikecam, orang tanya kenapa saya buat watak sebegini. Jawapannya, kita kena lihat gambaran besar. Kita sebagai aktor ibarat jadi cermin, supaya masyarakat sedar dan tak terjebak dengan scam atau ajaran sesat.
“Contohnya, kes Ayah Pin, ramai golongan profesional, B40, M40, malah golongan tua pun boleh terpesong, walaupun mereka beragama. Kenapa boleh terjadi? Sebab adanya kebijaksanaan golongan yang menunggang agama.
“Bagi saya, kes kecaman itu hak masing-masing. Itu prerogatif anda. Tapi perlu jelas, sebab cerita ini bukan tentang Ellie Suriaty.
“Ya, memang tubuh badan ini Ellie Suriaty, tapi bila dah masuk ke dalam karakter, ia langsung tak ada kena-mengena dengan kehidupan saya,”katanya.-UTUSAN