PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan kelonggaran kepada institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta untuk melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur.
Kementerian tersebut dalam kenyataan berkata, langkah tersebut diambil susulan pelaksanaan penutupan jalan dan kawalan keselamatan di beberapa kawasan strategik sekitar Lembah Klang yang melibatkan Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sepanjang persidangan itu berlangsung.
Katanya, kemudahan ini diberikan sebagai langkah prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan warga IPT terlibat.
“IPT diminta membuat semakan lokasi, masa dan tarikh penutupan jalan bagi menentukan keperluan melaksanakan PdP secara dalam talian agar warga IPT tidak terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah KPT, pelajar dan kakitangan yang mungkin terjejas akibat penutupan jalan diminta berhubung dengan pihak pengurusan IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat perancangan sewajarnya.
Kemudahan yang diberikan ini bertujuan untuk memastikan kelancaran proses PdP tanpa menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan pelajar serta kakitangan akademik sepanjang tempoh persidangan antarabangsa itu. – UTUSAN










