BINTANG K-Pop sering terdedah kepada risiko keselamatan ketika membuat persembahan atas pentas. Hal ini terbukti menerusi banyak kemalangan dilaporkan, yang antaranya mengakibatkan kecederaan dan hampir meragut nyawa. Berikut antara kes kemalangan atas pentas membabitkan artis Korea Selatan yang pernah dilaporkan sebelum ini.
JUN.K
Jun.K atau Kim Minjun mengalami retak tulang siku dan jari manis tangan kanannya akibat terjatuh dari pentas ketika menjayakan konsert 6Nights sembilan tahun lalu.
Media Korea Selatan melaporkan vokalis kumpulan 2 PM itu jatuh dari ketinggian 3 meter selepas hilang keseimbangan ketika berdiri di atas platform bergerak.
Selepas insiden tersebut, Jun.K dikejarkan ke hospital berdekatan.
Konsert yang diadakan di Hwajeong University itu dibatalkan ekoran kejadian berkenaan.
SUBIN
Ahli kumpulan DalShabet ini pernah menerima 16 jahitan di wajah dan bibirnya selepas terjatuh ketika membuat persembahan pusat peranginan Bugok Hawaii.
Subin, terjatuh dengan mukanya cedera akibat tersembam pada benda logam yang diletakkan bersebelahannya ketika membuat persembahan.
ONEW
Anggota kumpulan SHINee ini pada 2009 hampir dihempap lampu pentas ketika membuat persembahan sempena konsert KBS Music Bank.
Kejadian berlaku ketika Onew dan ahli SHINee lain sedang beredar meninggalkan pentas.
Onew yang terselamat bagaimanapun terpaksa dibawa ke hospital kerana terkejut dengan kejadian itu.
ORA
Bora atau Yoon Bo-ra pernah mengalami patah ibu jari dan lengan kanan kerana terjatuh ketika membuat persembahan pada tahun 2010.
Ia berlaku ketika dia yang pada ketika itu menganggotai kumpulan Sistar melakukan persembahan sempena konsert Let’s Start Sharing di Seoul.
Gara-gara permukaan pentas basah selepas hujan, Bora tergelincir sebelum muka dan tubuhnya tertiarap atas lantai.
Bora yang menahan sakit tetap meneruskan persembahan. Dia kemudian terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
SEUNGRI
Bekas ahli kumpulan Bigbang ini pernah mengalami luka terbakar pada wajah dan badannya akibat terkena percikkan bunga api yang dipasang atas pentas.
Insiden cemas itu berlaku pada konsert ketika awal kemunculan Bigbang sekitar tahun 2007.
Tindakan pantas Seungri yang segera mengalihkan wajah dan badannya daripada percikkan bunga itu mengelakkan dia daripada mengalami kecederaan lebih serius.
Kejadian itu meninggalkan trauma kepada Seungri sehingga ke hari ini.